KUALA LUMPUR: Firma hal ehwal awam dan komunikasi dasar, Strategic Counsel Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan syarikat pengeluaran kandungan digital, Rojak Bytes bagi menawarkan perkhidmatan komunikasi dasar bersepadu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Strategic Counsel memaklumkan kerjasama itu menggabungkan kepakaran syarikat berkenaan dalam hal ehwal awam, libat urus kawal selia dan komunikasi dasar dengan keupayaan Rojak Bytes dalam penghasilan kandungan digital serta analitik.
Advertisement
Strategic Counsel berkata syarikat itu telah berkhidmat kepada lebih 20 akaun multinasional dan kerajaan di dalam serta luar negara, manakala Rojak Bytes merekodkan lebih 40 juta capaian terkumpul di platform dalam talian.
Menurut kenyataan itu, kerjasama berkenaan bertujuan menyediakan penyelesaian sehenti kepada pelanggan dengan mengintegrasikan strategi komunikasi, analitik data dan pengeluaran kandungan digital bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian serta penglibatan awam, khususnya berkaitan isu dasar.
Ketua Pegawai Eksekutif Strategic Counsel, Hafidzi Razali berkata kerjasama tersebut dibina berdasarkan rekod pencapaian kedua-dua firma dalam menyampaikan komunikasi yang berorientasikan hasil.
“Rekod pencapaian kolektif kami membuktikan bahawa dengan perancangan yang rapi, komitmen dan profesionalisme yang tinggi, kami telah menyampaikan kepuasan kepada pelanggan melalui hasil yang bersifat tindakan, bukan sekadar nasihat,” katanya.
Pengasas Rojak Bytes, Mirzan Mustafa Kamal berkata kerjasama itu adalah tepat pada masanya selaras dengan perubahan pantas platform digital dan tempoh tumpuan khalayak yang semakin terhad.
“Profil kami membolehkan penerapan teknologi dan kecekapan digital dilaksanakan dengan lebih mudah. Dengan tempoh tumpuan yang singkat dan platform yang bergerak pantas, tumpuan kepada keberkesanan adalah keperluan utama dalam kempen dan usaha pembinaan kesedaran naratif pada masa kini,” katanya.
Menurut kenyataan itu, antara keunikan kerjasama tersebut ialah fokus kepada komunikasi dasar, dengan kandungan khusus dibangunkan bagi menarik minat awam daripada pelbagai sudut pandang.
Ia turut menyatakan bahawa kerjasama itu mencerminkan pendekatan terancang ke arah pertumbuhan dipacu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan kedua-dua firma memilih untuk berkembang melalui pengkhususan serta keupayaan penyampaian bersepadu.
Mengulas berkenaan perancangan masa hadapan, Strategic Counsel dan Rojak Bytes akan menumpukan perkhidmatan mereka kepada pengukuhan penjenamaan kepimpinan, pelaksanaan inisiatif nasional serta pengurusan risiko dasar bagi syarikat multinasional, pemain industri dan pihak berkepentingan sektor awam, menurut kenyataan itu.
Strategic Counsel merupakan firma hal ehwal awam dan komunikasi dasar yang berpangkalan di Kuala Lumpur serta memberi khidmat nasihat kepada syarikat multinasional, persatuan industri dan badan kerajaan, manakala Rojak Bytes ialah syarikat pengeluaran kandungan digital yang menghasilkan kandungan bersasar untuk khalayak pembuat keputusan merentas platform.