HANGZHOU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan beberapa pertemuan bersama pengurusan kanan dari lima gergasi industri China, dengan AgiBot Innovation telah menyatakan komitmen potensi pelaburan bernilai RM1 bilion menjelang tahun 2035 dengan pewujudan 5,000 peluang pekerjaan.
ZTE Corporation pula menggariskan inisiatif serta pelaburan bernilai RM170 juta bagi memacu transformasi digital Malaysia, sekali gus membina lebih banyak peluang kerjaya berkualiti buat anak-anak tempatan.
Tiga syarikat lain yang mengadakan pertemuan dengan adalah Alibaba Group, Geely Automobile Holdings dan Huawei Technologies.
“Perbincangan kami berkisar seputar hal meneroka secara mendalam tentang keupayaan pelaburan baharu serta kerjasama strategik dalam sektor berdampak tinggi meliputi sektor robotik humanoid, infrastruktur digital, kecerdasan buatan (AI), teknologi EV, serta e-dagang,” katanya dalam satu hantaran di media sosial beliau.
Dalam perbincangan bersama Alibaba Group, usaha memperluas akses pasaran bagi produk Malaysia khususnya keluaran Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan industri halal negara ke pasaran China serta global menerusi ekosistem digital Alibaba turut disentuh, katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kerajaan MADANI kekal komited dalam merintis dan menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkasa keupayaan bakat tempatan, serta menjana peluang pekerjaan berkemahiran demi memacu kemakmuran ekonomi rakyat dan tanah air.
Perdana Menteri tiba di sini pada Selasa untuk lawatan kerja selama tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou.
China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah US$113.82 bilion (RM456.68 bilion) untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
-- BERNAMA