Skip to main content

Dunia

Pengangguran dalam kalangan graduan universiti di Jerman catat rekod tertinggi

Jumlah graduan universiti yang menganggur meningkat kepada 372,000 orang pada Ogos, mencatat trend peningkatan berterusan sejak lima tahun lepas. - Gambar hiasan/Imej janaan AI
Jumlah graduan universiti yang menganggur meningkat kepada 372,000 orang pada Ogos, mencatat trend peningkatan berterusan sejak lima tahun lepas. - Gambar hiasan/Imej janaan AI
Advertisement

MUNICH: Pengangguran dalam kalangan graduan universiti di Jerman meningkat ke paras tertinggi pernah direkodkan, khususnya melibatkan golongan muda, susulan kelembapan ekonomi dan peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI), menurut Agensi Pekerjaan Persekutuan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut agensi itu, jumlah graduan universiti yang menganggur meningkat kepada 372,000 orang pada Ogos, mencatat trend peningkatan berterusan sejak lima tahun lepas.

Graduan berusia bawah 30 tahun merupakan golongan paling terjejas.

Advertisement

Bagaimanapun, pendidikan tinggi masih menjadi faktor penting yang mengurangkan risiko pengangguran meskipun jumlah graduan tanpa pekerjaan semakin meningkat.

Kadar pengangguran dalam kalangan graduan universiti pada 2025 ialah 3.3 peratus, kira-kira separuh daripada kadar pengangguran keseluruhan penduduk negara itu.

Advertisement

Menurut agensi itu, kadar pengangguran dalam kalangan individu berkelulusan vokasional pula mencatatkan 3.6 peratus, manakala kadar berkenaan melebihi 21 peratus bagi mereka yang tidak memiliki kelayakan vokasional formal.

Kadar pengangguran turut menunjukkan perbezaan ketara mengikut bidang pengajian.

Pada 2025, kadar pengangguran dalam kalangan graduan bidang pendidikan adalah kurang daripada dua peratus, berbanding 4.6 peratus bagi graduan bidang kemanusiaan dan 3.8 peratus bagi graduan kejuruteraan.

Agensi Pekerjaan Persekutuan berkata peningkatan pengangguran itu didorong terutamanya oleh keadaan ekonomi Jerman yang lemah serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas, dengan golongan muda yang baru memasuki pasaran kerja paling terjejas.

Bagaimanapun, agensi itu menjelaskan bahawa AI secara umumnya tidak dijangka menggantikan keseluruhan bidang pekerjaan.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement