Beliau berkata inilah masa yang sesuai untuk menggalakkan penggunaan gas asli dalam pasaran baharu memandangkan harganya yang lebih menarik, hasil daripada infrastruktur pelaburan yang tepat.
"Saya berharap syarikat serta kerajaan dapat membentuk usaha sama pintar bagi memanfaatkan potensi gas asli sepenuhnya sebagai pilihan yang berdaya maju dari segi komersial dan alam sekitar.
"Dua langkah ini sangat penting dalam menyokong satu sama lain, dan bukan sebaliknya," katanya dalam ucaptama pada Persidangan Minyak dan Gas kali ke-19 di sini hari ini.
Beliau berkata syarikat minyak dan gas juga boleh membantu meningkatkan teknologi bagi mengurangkan jumlah pelepasan gas rumah hijau dalam proses industri masing-masing.
"Saya faham, terdapat usaha yang dilaksanakan dalam pembangunkan teknologi pengurusan karbon dioksida (CO2), termasuk oleh Petronas. Saya berharap lebih banyak lagi yang boleh dilakukan untuk mencapai lonjakan kuantum dalam meningkatkan dan melaksanakan teknologi ini," katanya.
Najib berkata banyak penemuan gas telah membantu merangsang pertumbuhan industri gas asli cecair (LNG) di Timur Tengah, Asia Pasifik dan Australia.
"Kemunculan lebih banyak pengeluar, peningkatan bekalan dan harga gas yang kompetitif telah mengubah LNG kepada sumber tenaga yang menarik bagi ekonomi pesat membangun, dan ia juga mempunyai manfaat intensif karbon yang jauh lebih rendah.
"Saya percaya peserta industri boleh bekerjasama untuk menyokong penggunaan LNG yang lebih luas dengan menawarkan penyelesaian komersial yang inovatif dan bantuan teknikal kepada negara-negara yang mempunyai minat yang masih baru dalam sektor ini," kata beliau.
Perdana Menteri berkata Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) telah meramalkan bahawa permintaan tenaga global akan berganda menjelang 2050, bukan sahaja kerana penduduk dunia yang semakin meningkat, dan legasi peserta industri perlu bekerja lebih keras dan menyusun semula keutamaan strategik untuk kekal relevan dan mampan dalam jangka masa panjang .
Najib berkata industri minyak dan gas terus menjadi peneraju dalam penggunaan teknologi minyak dan gas yang meningkatkan kecekapan dan produktiviti.
"Dengan kebangkitan Internet Segala-galanya, penggunaan analitis data maya dan automasi, industri itu akan dapat menawarkan sumber tenaga pada harga yang lebih baik," katanya.
Beliau berkata berdasarkan kedudukan realiti dan pendekatan baharu yang diterima pakai oleh penggiat utama, ekonomi Malaysia terus berdaya tahan walaupun berlaku kekangan.
"Tahun lepas kita merekodkan pertumbuhan 4.2 peratus. Ekonomi tahun ini diunjur tumbuh antara 4.3 dan 4.8 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang sihat dan pelaburan sektor swasta yang rancak," katanya.
Najib berkata eksport kasar dijangkakan meningkat pada tahap yang lebih pantas sebanyak 2.7 peratus hasil daripada pemulihan dalam eksort komoditi serta permintaan kukuh untuk produk elektronik dan elektrik, yang diunjur merangsang sektor pembuatan.