KUALA LUMPUR: Banyak syarikat minyak dan gas dijangka meraih keuntungan tinggi pada 2023 dan seterusnya memandangkan tekanan dalam persekitaran ekonomi global dan prestasi sektor kewangan yang tidak menentu, kata seorang ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Global Shan Saeed berkata pasaran minyak bergerak antara landskap geopolitik dan ekonomi geostrategik yang sangat berbeza daripada 2008.

"Hari ini, harga minyak sedang melalui beberapa cabaran dengan kekangan bekalan dan ia berada dalam fasa yang mana harga semerta (spot) lebih tinggi daripada harga hadapan.

"Saya fikir ini akan meningkatkan harga pada 2023, yang mana kami menjangkakan minyak mentah Brent diniagakan antara US$80 hingga US$127 setong dan permintaan dijangka mencecah 105 juta tong sehari menjelang Disember 2023," katanya kepada Bernama.

Shan berkata menurut data lain, ahli ekonomi secara umumnya menjangkakan minyak diniagakan pada US$90 setong menjelang Jun 2023 manakala bank pelaburan multinasional Amerika, Goldman Sachs, menjangkakan harga berada sekitar US$100 setong menjelang Disember 2023.

Beliau berkata faktor lain yang akan memacu harga minyak lebih tinggi termasuklah risiko dasar di negara pengeluar minyak, penurunan pengeluaran tidak berjadual dan penyusutan nilai dolar AS, yang nampaknya tidak dapat dielakkan kerana Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) dijangka mengurangkan kadar faedah dan melaksanakan dasar pelonggaran kuantitatif menjelang Oktober atau November 2023.

"Harga minyak tidak dijangka turun di bawah US$80 setong kerana pulang modal masih kekal tinggi bagi kebanyakan pengeluar minyak utama dalam pasaran," katanya.

Ketika ini, minyak mentah Brent pada sekitar US$76 setong.

Shan berkata minggu lepas, sebuah daripada syarikat minyak terbesar di dunia, Saudi Aramco, mencatatkan keuntungan tinggi sebanyak US$161 bilion disokong oleh harga minyak mentah yang kukuh pada 2022.

"Saya jangkakan kebanyakan syarikat minyak dan gas yang lain akan turut mencatatkan keuntungan yang sama pada 2023 dan seterusnya," katanya.

Beliau berkata banyak perbelanjaan modal dan kapasiti pengeluaran dijangka dipertingkat dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

"Ini akan memberi sumbangan positif kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan landskap makro-ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata Juwai IQI global optimis dengan pasaran tenaga global dan peningkatan komoditi telah bermula dengan kitaran kekal dalam pasaran sehingga 2025.

Menurutnya, banyak negara yang dipacu sumber juga akan mendapat manfaat daripada kenaikan harga komoditi.

-- BERNAMA