KUALA LUMPUR: Kerajaan belum lagi menoktahkan hasrat untuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata GST mampu menambah pendapatan negara, sekali gus membolehkan lebih banyak usaha membantu rakyat khususnya untuk membasmi kemiskinan tegar.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pelaksanaan cukai itu pada tahun ini tidak diperkenalkan seperti yang telah dibentangkan dalam Belanjawan 2023.

"Oleh kerana itu, untuk masa-masa yang ke hadapan GST sebenarnya boleh membantu pendapatan yang lebih. Dengan pendapatan yang lebih itu, kita boleh membantu rakyat yang susah.

"Mungkin jika sekarang ini kita ingin menoktahkan kesmikinan tegar. Jika ada GST kita boleh menoktahkan kemiskinan yang bukan hanya pendapatan (had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK)) RM1,109 dinoktahkan, tetapi (PGK) RM2,208 dan ke bawah juga boleh dinoktahkan jika kita mempunyai kewangan yang banyak.

"GST boleh jadi cukai yang progresif, jika kita mengenalkan kadar sifar kepada barangan yang diguna oleh kumpulan B40.

"Oleh itu kita masih lagi mengkaji dan menilai bilakah masa yang sesuai dan kita masih lagi tidak menoktahkan GST. Cuma pada tahun ini ia tidak akan dilaksanakan," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Kita masih tidak menoktahkan lagi pelaksanaan GST - Ahmad Maslan


Ahmad (BN-Pontian) menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bertanyakan adakah pelaksanaan GST pada masa akan datang memberi kesan kepada rakyat terutamanya B40.

Mengulas lanjut, Setiausaha Agung UMNO itu berkata setakat ini 174 daripada 193 negara atau kira-kira 90 peratus telah melaksanakan GST.

Dengan jumlah tersebut, beliau berkata 'mustahil' untuk negara-negara berkenaan melakukan kesilapan dengan mengambil keputusan melaksanakan cukai berkenaan.

"Dalam dunia ini ada 193 negara dalam United Nation (UN), campur dua pemerhati termasuk Palestin. Sebanyak 174 negara telah melaksanakan GST.

"Jadi kalau kita melihat kepada trend itu, 174 daripada 193 negara, tak kan lah 174 negara itu silap membuat keputusan? Lain lah hanya 20 negara yang buat GST, ini 174 negara yang buat," kata Ahmad.

Ketika membentang Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu, kerajaan kekal tidak melaksanakan GST, sebaliknya memperluaskan asas cukai kepada mereka yang lebih berkemampuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk itu kerajaan bercadang memperkenalkan cukai barangan mewah mulai tahun ini.