Skip to main content

Bisnes

Tarif AS: Kadar 10 peratus baik, hanya jika pengecualian semikonduktor kekal - Penganalisis

71763546867_TBUSTARIFFS.jpg
Pada 24 Julai lalu, Malaysia, antara negara ASEAN yang dikenakan kadar duti terendah sebanyak 10 peratus di bawah tarif baharu Seksyen 301 Amerika Syarikat. - foto/REUTERS
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas import dari Malaysia pada kadar 10 peratus adalah baik sekiranya pengecualian tarif ke atas barangan semikonduktor dikekalkan.  

Provost Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata jika barangan semikonduktor juga dikenakan tarif 10 peratus, ia akan melumpuhkan industri tempatan.  

"Kita bimbang tentang beberapa barangan yang dikecualikan dibawah ketetapan tarif sebelum ini. Adakah ia akan terus dikecualikan atau dikenakan tarif 10 peratus? Ini sangat kritikal. Contohnya, produk semikonduktor kita dikecualikan.  

"Tetapi jika ia dikenakan tarif 10 peratus sekarang, itu sudah cukup untuk lumpuhkan industri kerana kita import banyak bahan pembuatan semikonduktor itu dan margin keuntungan sangat kecil," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

Tambah Barjoyai, kadar tarif 10 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia tidak semestinya memberi kelebihan mutlak berbanding negara-negara jiran, jika negara-negara tersebut mempunyai volum perdagangan lebih tinggi berbanding Malaysia.

"Walaupun kadar tarif lebih tinggi sedikit, mereka masih dapat faedah. Kadar tarif ini penting sebagai asas persepsi. Daripada itu, pelabur-pelabur asing dan pengimport AS akan buat keputusan sama ada mereka akan terus import daripada kita atau tidak,” tambahnya lagi.

Pada 24 Julai lalu, Malaysia, antara negara ASEAN yang dikenakan kadar duti terendah sebanyak 10 peratus di bawah tarif baharu Seksyen 301 AS susulan kegagalan melaksanakan dan menguatkuasakan secara berkesan larangan import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa. Perkara itu diumumkan oleh Wakil Perdagangan AS (USTR), Duta Jamieson Greer menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di Washington.

Pada masa sama, bagi semua ekonomi lain, USTR menetapkan kadar duti Seksyen 301 sebanyak 12.5 peratus, yang turut dikenakan selepas ditolak kadar duti MFN bagi produk berkaitan, menurut kenyataan itu.

Must Watch Video

Advertisement