Skip to main content

Dunia

Senator dipilih AS El-Sayed gesa Hegseth letak jawatan

El-Sayed ditemui pemberita di Capitol Hill, Washington DC, AS, 10 Nov 2026. REUTERS
El-Sayed ditemui pemberita di Capitol Hill, Washington DC, AS, 10 Nov 2026. REUTERS

Ringkasan AI

  • Senator Abdul El-Sayed menggesa Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, supaya meletakkan jawatan atas dakwaan gagal melaksanakan tanggungjawab.
  • Dewan Perwakilan meluluskan usul merujuk resolusi pendakwaan terhadap Hegseth kepada jawatankuasa, sekali gus menggagalkan usaha pendakwaan tersebut.
  • El-Sayed mengaitkan perang di Iran dengan peningkatan kos sara hidup rakyat Amerika dan menggesa penamatan konflik tersebut.
Advertisement

WASHINGTON: Abdul El-Sayed, yang baharu dipilih sebagai Senator Amerika Syarikat (AS), pada Selasa menggesa Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth supaya meletakkan jawatan.

Desakan itu dibuat selepas Dewan Perwakilan meluluskan usul, dengan 211 undi menyokong berbanding 204 undi menentang, untuk merujuk resolusi pendakwaan (impeachment) terhadap beliau kepada jawatankuasa, satu langkah yang secara efektif menggagalkan usaha tersebut, lapor Anadolu Ajansi.

“Mengapa anda masih memegang jawatan ini? Anda benar-benar tidak cekap. Anda gagal melaksanakan tanggungjawab anda. Anda telah mengendalikan perang ini dengan buruk.

Advertisement

“Jadi, letak sahaja jawatan. Permudahkan urusan semua pihak sebelum anda akhirnya disingkirkan, kerana itulah yang sebenarnya sedang berlaku,” kata El-Sayed semasa temu bual dengan CNN, sambil bercakap secara langsung kepada Hegseth.

Apabila ditanya mengenai 11 ahli Demokrat yang tidak hadir untuk pengundian tersebut, El-Sayed berkata, "Anda sepatutnya hadir dan menjalankan tugas anda.”

Advertisement

Beliau mengaitkan perang di Iran dengan peningkatan kos sara hidup bagi rakyat Amerika.

“Di mana-mana sahaja saya pergi di Michigan, persoalan utama yang diajukan ialah: mengapa saya perlu membayar $80 untuk mengisi penuh tangki trak saya? 

"Dan mengapa saya tidak mampu membeli satu lagi paun daging lembu kisar di kedai runcit? Semua ini berpunca daripada satu isu, iaitu perang gila ini yang sebenarnya tidak sepatutnya kita melibatkan diri,” katanya.

El-Sayed berkata beliau akan “menilai sebarang proses pendakwaan berdasarkan meritnya sendiri,” namun menambah, "sudah jelas bahawa Pete Hegseth gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Setiausaha Pertahanan.”

Beliau turut menggesa agar perang tersebut ditamatkan dengan menyifatkannya sebagai “tidak mematuhi undang-undang, tidak bermoral dan tidak beretika.”

Hegseth menolak usaha untuk mendakwanya itu dalam satu sidang media di Pentagon pada awal Selasa.

“Ini hanyalah satu sandiwara dan gimik semata-mata, semua orang tahu akan hal itu,” katanya. “Ini bukanlah jenayah berat. Ini adalah sebahagian daripada tugas, dan tugas ini telah dilaksanakan dengan baik.”

Pengundian tersebut berlangsung seminggu selepas parti Demokrat berjaya menguasai kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat dalam pilihan raya pertengahan penggal pada 3 Nov.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement