Skip to main content

Bisnes

Tata Chemicals tunggu respons Kementerian Kenya selepas Presiden arah henti operasi

Kenya's President William Ruto gestures as he speaks during the launch of the 'National Conversation Beyond 2030' at the KICC, Nairobi, Kenya, August 12, 2026. REUTERS/Monicah Mwangi
Ruto (gambar) berkata kerajaan akan mengeluarkan lesen perlombongan abu soda Magadi kepada pelabur baharu. - Gambar fail/REUTERS
Advertisement

HYDERABAD: Tata Chemicals, sebahagian daripada konglomerat besar India, Tata Group, memaklumkan syarikat itu sedang menunggu maklum balas Kementerian Perlombongan Kenya berhubung dokumen yang dikemukakan mengenai operasi perlombongannya selepas Presiden William Ruto mengarahkan anak syarikatnya di Kenya menghentikan operasi di negara itu.

Ruto pada Khamis menuduh anak syarikat berkenaan, Tata Chemicals Magadi Limited (TCML), mengeksploitasi sumber di Kaunti Kajiado tanpa memberi manfaat kepada masyarakat tempatan.

“Kita mempunyai sumber yang banyak di Tasik Magadi yang mampu mengubah Kajiado dan negara kita, Kenya. Syarikat Tata Chemicals itu memiliki lesen selama 100 tahun tetapi tidak membangunkan apa-apa di Kajiado atau menggaji penduduk dari Kajiado,” kata Ruto seperti dipetik dalam laporan media digital Nairobi Leo pada Khamis.

Ruto berkata kerajaan akan mengeluarkan lesen perlombongan abu soda Magadi kepada pelabur baharu.

Tata Chemicals dalam makluman kepada bursa saham pada Julai memaklumkan TCML menerima notis daripada Kementerian Perlombongan, Ekonomi Biru dan Hal Ehwal Maritim Kenya pada 28 Julai yang mengarahkannya menggantung operasi perlombongan dan eksport abu soda.

TCML mengemukakan maklumat, laporan dan dokumentasi yang diminta kepada kementerian pada 11 Ogos, menurut syarikat itu pada Khamis susulan kenyataan Ruto.

“TCML telah memberikan respons yang komprehensif terhadap perkara yang dibangkitkan kementerian, termasuk maklumat mengenai pematuhannya terhadap keperluan kawal selia yang berkuat kuasa. Kami sedang menunggu kementerian meneliti dokumen yang dikemukakan dan arahan selanjutnya,” menurut syarikat itu kepada Bernama sebagai menjawab pertanyaan.

“Kami menghormati kuasa kerajaan Kenya dan kekal komited untuk mengadakan libat urus secara konstruktif menerusi saluran perundangan dan kawal selia yang sewajarnya bagi menyelesaikan isu yang masih belum selesai,” tambahnya.

Pertikaian mengenai perlombongan dan pemprosesan abu soda di Magadi, selatan Kenya, telah berlarutan sejak sekian lama.

Tata Chemicals mengambil alih loji Magadi pada 2005 daripada Brunner Mond Group, pengeluar abu soda yang berpangkalan di United Kingdom.

Kenya ialah pengeluar abu soda semula jadi keempat terbesar dunia, menyumbang satu peratus daripada pengeluaran global, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement