KUALA LUMPUR: Cadangan Tabung Kewangan Asia (AMF) perlu dipertimbangkan dengan teliti dalam konteks ketidaktentuan ekonomi global serta geopolitik yang semakin meningkat, kata dua pakar ekonomi.

Malaysia, sebagai sebuah negara perdagangan kecil, perlu sentiasa terbuka kepada semua idea dan kekal berkecuali dan pada masa yang sama, sentiasa bertindak tegas untuk melindungi kepentingannya sendiri, kata Nungsari Ahmad Radhi.

Ahli ekonomi itu berkata cadangan AMF itu terhasil daripada persepsi bahawa Amerika Syarikat (AS) telah meninggalkan "perintah liberal" perdagangan dan hubungan antarabangsa, yang mana, ia hanya mengejar kepentingan negara sendiri sambil cuba memprojeksikan kuasa di mana-mana.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mencadangkan agar negara-negara Asia menubuhkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) versinya sendiri iaitu AMF.

"Semua kuasa ekonomi akhirnya, akan menjadi kuasa politik utama dan sementara AS telah dominan selama kira-kira satu abad, ia kini bergelut untuk hidup bersama dengan kebangkitan China, yang juga sedang berusaha menonjolkan kuasa politik berdasarkan kedudukan ekonominya.

"Sama ada bank pembangunan serantau sedia ada seperti Bank Pembangunan Asia, yang sebahagian besarnya berpusat di Jepun atau Tabung Kewangan Asia, China pasti mahukan mewujudkan platformnya sendiri, dan kerana saiz negara itu, ia akan menguasai segala-galanya.

"Akhirnya, Indonesia juga begitu memandangkan negara jiran ini merupakan ekonomi terbesar di Asean dengan jumlah penduduk seramai 300 juta orang," katanya kepada Bernama.

Nungsari menegaskan Malaysia tidak boleh mengabaikan keadaan geopolitik yang memuncak di negara ini dan perlu secara strategik mengukuhkan kedudukannya di tengah-tengah perubahan ekonomi global.

"(Disebabkan perubahan dalam ekonomi global dan dasar AS), saya percaya rantaian bekalan akan terus terganggu kerana perkembangan geopolitik dan penyusunan semula mereka menunjukkan kerjasama serantau yang lebih erat.

"Saya bersetuju bahawa ekonomi Asia boleh mendapat manfaat daripada kerjasama ekonomi yang lebih rapat," katanya.

Kebaikan Dan Keburukan

Dekan Institut Pengajian Siswazah di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Profesor Geoffrey Williams menekankan tiga kebimbangan utama mengenai AMF.

Yang pertama ialah penubuhan AMF sebagai alternatif kepada IMF, yang kedua adalah IMF disokong oleh dolar US, dan yang ketiga adalah implikasi geopolitik serta bagaimana ia akan menjejaskan hubungan antara negara.

"IMF adalah dana bagi pembiayaan jangka pendek untuk menstabilkan sistem kewangan antarabangsa di peringkat kerajaan, dengan AS dan dolar memberikan sebahagian besar sokongannya.

"Isu kedua ialah penggunaan mata wang dua hala menggantikan dolar US sebagai mata wang dagang utama untuk membiayai perdagangan serta pelaburan antarabangsa.

"Majoriti komoditi dinilaikan dan didagangkan dalam dolar US tetapi transaksi minyak antara Rusia, China serta India melangkaui pengaturan ini. Terdapat kemungkinan yang semakin meningkat bahawa ini akan menular ke negara-negara dan komoditi lain," katanya.

Williams mempersoalkan kemungkinan penubuhan dana Asia dengan menjelaskan walaupun ia mungkin berlaku tetapi ini memerlukan penyertaan sebilangan besar negara Asia untuk menyediakan pembiayaan yang diperlukan dan kemudian membabitkan rundingan syarat-syarat yang mana akses kepada pembiayaan itu diberikan.

"Ini membabitkan isu geopolitik serta isu kewangan," katanya.

Walaupun dalam perbincangan baru-baru ini, AMF telah menerima respons positif daripada pakar kewangan tempatan, Menteri Penyelaras Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto menyatakan dalam satu temu bual bahawa kesedaran idea itu memerlukan komitmen yang sukar diperoleh dari negara-negara terkait.

IMF telah mendedahkan bahawa kira-kira 50 peratus daripada pinjaman rentas sempadan dan sekuriti hutang antarabangsa didenominasi dalam dolar US.

Walaupun kerajaan pasaran baru muncul telah mencapai kemajuan dengan menerbitkan hutang dalam mata wang mereka sendiri, sektor korporat masih mempunyai tahap hutang denominasi dolar yang tinggi.

Telah wujud cadangan bahawa AMF boleh memberi pinjaman dalam mata wang lain untuk mengimbangi tekanan yang dibawa oleh dolar US.

-- BERNAMA