Tiada keperluan runding semula ART Malaysia-AS ketika ini - MITI

MITI menjelaskan ini kerana ART masih belum diratifikasi dan dikuatkuasakan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan berpendapat rundingan semula Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) adalah tidak perlu pada masa ini, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Ringkasan AI
- MITI menganggap rundingan semula Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) tidak diperlukan buat masa ini kerana ART belum diratifikasi serta dikuatkuasakan.
- Kementerian menyatakan pemuktamadan ART berpotensi meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui pelbagai cara seperti pengukuhan perdagangan, peningkatan pelaburan berkualiti tinggi, serta pemindahan teknologi.
- MITI menegaskan kerajaan telah melakukan analisis risiko menyeluruh terhadap penggunaan klausa keluar dalam ART Malaysia-AS untuk mengenal pasti sektor industri yang memerlukan penyesuaian strategi atau sokongan dasar.
"Permohonan pindaan hendaklah dibuat secara bertulis, dan pihak yang satu lagi hendaklah mempertimbangkan permohonan pindaan tersebut dengan niat baik. Kedua-dua pihak perlu bersetuju secara bertulis untuk meminda perjanjian tersebut," tambah MITI menerusi jawapan bertulis Dewan Negara yang disiarkan di laman Parlimen hari ini.
MITI menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad yang bertanyakan cadangan merundingkansemula ART AS-Malaysia yang dilihat berat sebelah.
Kementerian memaklumkan pemuktamadan ART berpotensi dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui pengukuhan perdagangan dua hala, peningkatan aliran pelaburan berkualiti tinggi, pemindahan teknologi, peningkatan daya saing industri tempatan, serta pemantapan rantaian bekalan global.
Sementara itu, menjawab pertanyaan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pula, MITI menjelaskan ART Malaysia-AS dimeterai bagi memberikan ketelusan dan ketentuan dalam hubungan perdagangan kedua-dua negara, sekali gus mengurangkan risiko ketidaktentuan dasar yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan syarikat perniagaan terhadap Malaysia.
Nik Mohamad Abduh bertanyakan impak ekonomi dan strategik ART terhadap agenda ekonomi Malaysia dan sama ada kerajaan telah menjalankan analisis risiko yang menyeluruh mengenai penggunaan klausa keluar.
Menurut MITI, kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang proaktif dengan menjalankan analisis impak untuk mengenal pasti sektor industri yang mungkin memerlukan penyesuaian strategi atau sokongan dasar.
"Kerajaan telah merangka beberapa strategi untuk mengurangkan impak pelaksanaan tarif ke atas prestasi eksport dan pelaburan negara," jelas kementerian itu.
Mengenai klausa keluar atau "exit clause", MITI serta agensi berkaitan seperti Jabatan Peguam Negara telah meneliti aspek itu secara menyeluruh, termasuk implikasi undang-undang terhadap kedaulatan negara, menurutnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


