KUALA LUMPUR: Pengerusi Serba Dinamik Holdings Bhd., Datuk Illyas Pakeer Mohamed dan pengarah bebas bukan eksekutifnya, Johan Mohamed Ishak meletak jawatan daripada lembaga pengarah syarikat berkuat kuasa serta-merta.

Kedua-duanya dilantik ke jawatan tersebut pada 18 Jun lalu.

Menerusi surat perletakan jawatan bertarikh 22 November lalu kepada syarikat penyedia perkhidmatan bersepadu minyak dan gas itu, mereka menyatakan bahawa syarat yang dikenakan Bursa Malaysia ke atas Serba Dinamik telah menghalang mereka daripada melaksanakan tugas secara adil sebagai pengarah bebas syarikat tersebut.

Oleh itu, ia menyebabkan mereka tidak dapat memenuhi tanggungjawab kepada syarikat, pemegang saham mahupun memainkan peranan pengarah bebas yang adil secara menyeluruh dalam pasaran modal Malaysia.

"Mematuhi keperluan yang dikenakan oleh Bursa Malaysia akan meletakkan kedua-dua mereka dalam kedudukan yang tidak boleh dipertahankan, bercanggah dengan tanggungjawab tersebut di atas.

"Ini kerana ia memerlukan, pada pendapat mereka, tindakan kurang matang dan tidak adil disebabkan semakan khas bebas yang tidak lengkap oleh Ernst & Young yang masih berterusan dan dengan itu tidak dapat dimuktamadkan," jelas Serba Dinamik dalam makluman di Bursa Malaysia.

Dalam hal ini, lembaga pengarah Serba Dinamik akan mengenal pasti pengarah bebas yang baharu dan akan membuat pengumuman sewajarnya.

"Berikutan peletakan jawatan Illyas, Datuk Seri Mohamed Farid Abu Hassan, seorang daripada pengarah bebas bukan eksekutif yang ada selain Siti Zaleha Sulaiman akan mengambil alih tugas pengerusi syarikat itu," katanya.

Bagaimanapun, syarikat mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan cemerlang Illyas dan Johan serta dedikasi dan sumbangan mereka sepanjang 5 bulan memegang jawatan berkenaan.

"Serba Dinamik telah menyaksikan peningkatan dari segi mengukuhkan kedudukan di mata pelabur dan rakan kerjasama, meningkatkan prestasi kami dan membina model perniagaan yang sentiasa berkembang serta mengekalkan hubungan kerjasama yang baik sama ada di dalam mahupun di luar organisasi," katanya.

Serba Dinamik berkata, Illyas akan diingati berikutan tindakan tegasnya terhadap bekas juruaudit luar, KPMG PLT di mana beliau menyamakan piawaian perakaunan atau pengauditannya sama seperti 'juruaudit kedai'.

Kenyataan itu dibuat ketika penampilan sulungnya ekoran tindakan Serba Dinamik memfailkan tuntutan sivil terhadap KPMG disebabkan kerosakan besar ke atas harga saham dan permodalan pasarannya.
Siti Zaleha Sulaiman
 
Saham Serba Dinamik diniagakan pada 35 sen, sebelum dagangannya digantung 22 Oktober lalu menjadikan pasaran modal syarikat berada pada RM1.31 bilion.


*Artikel asal di DagangNews.com