KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan penemuan spesies ikan pemangsa invasif, piranha perut merah atau nama saintifiknya Pygocentrus nattereri di Empangan Klau, Raub.
Pengarahnya, Roslan Abu Hasan berkata, tindakan tersebut diambil susulan maklumat daripada seorang pemancing yang dilaporkan mendaratkan ikan berkenaan sebelum penemuan itu dikongsikan menerusi media sosial.
“Dakwaan ini mungkin betul atau mungkin ia tidak tepat, tetapi kita akan buat siasatan mengenai perkara ini esok.
“Saya sudah gerakkan anggota ke sana (Empangan Klau) bagi mengumpul maklumat lanjut serta mengesahkan penemuan ikan larangan di negara ini,” katanya semalam.
Terdahulu, tular satu hantaran di laman sosial yang menggesa orang awam berwaspada susulan dakwaan penemuan spesimen ikan pemangsa yang biasanya ditemui di Lembangan Sungai Amazon, Amerika Selatan oleh seorang pemancing tempatan di kawasan empangan tersebut.
Hantaran itu turut mendakwa spesimen berkenaan berbeza dengan ikan piranha perut merah iaitu spesies yang pernah dilaporkan ditemui di perairan berkenaan sebelum ini.
Dakwaan penemuan piranha berkenaan menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan kesannya terhadap ekosistem air tawar sekiranya spesies itu benar-benar berada di perairan empangan tersebut.
Mengulas lanjut, Roslan berkata, pihaknya akan meneliti hasil siasatan berkenaan sebelum tindakan mitigasi sewajarnya diambil.
“Kami akan teliti perkara ini dan tindakan mitigasi akan diambil,” ujarnya. - Sinar Harian