Kerajaan melihat masih banyak ruang untuk penambahbaikan penglibatan Bumiputera di dalam industri automotif di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia perlu diteroka dan diperluas secara berperingkat-peringkat di dalam bidang berkaitan.

``Industri automatif merupakan salah satu industri yang penting kepada negara kerana ia menyumbangkan 3.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, dengan jumlah eksport sebanyak 5.3 billion ringgit serta menyediakan pekerjaan kepada 550,000 orang pada tahun 2013.

``Industri ini dijangka akan berkembang lagi sebanyak 10 peratus menjelang 2020. Justeru, Kerajaan akan sentiasa berusaha memastikan langkah-langkah sewajarnya di dalam sektor ini akan diambil di setiap peringkat samada di peringkat pengeluaran mahupun di peringkat perkhidmatan kerana industri ini mempunyai masa depan yang cerah serta pulangan yang lumayan,'' katanya.

Najib berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Auto Forum 2014 anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Turut hadir, Pengerusi PUNB, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam dan Presiden Persatuan Usahawan Otomotif Prosper Malaysia (AutoPro), Ahmad Ramzi Misnon.

Auto Forum yang diadakan setiap dua tahun sekali bermula pada 2008 itu bertujuan memberi peluang kepada peserta berkongsi pengetahuan, pengalaman, maklumat dan cabaran terkini bidang automotif negara.

Jelas Najib, sasaran kerajaan itu dilihat tidak mungkin tercapai jika golongan Bumiputera sendiri tidak segera berubah untuk mencapai misi berkenaan.

Ujarnya, sokongan kerajaan kepada usahawan Bumiputera akan dipergiatkan lagi menerusi kerjasama-kerjasama PUNB dengan pelbagai pihak seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Malaysia Automotive Institute dan agensi berkaitan.

``Jika kita lihat dari aspek bantuan-bantuan sosio-ekonomi yang diberikan kepada golongan 40 peratus yang berpendapatan rendah pula, kita akui bahawa majoritinya adalah golongan Bumiputera,'' katanya.

Oleh itu tegas Najib, kerajaan akan melakukan pendekatan berbentuk inklusif untuk mempertingkatkan ekonomi Bumiputera.

Sehingga April 2014, PUNB telah mewujudkan lebih 590 perniagaan automotif yang melibatkan seramai 671 usahawan Bumiputera dengan nilai projek yang diluluskan sebanyak 157 juta ringgit.

Pada majlis sama, pelancaran AutoPro turut diadakan selain aplikasi AutoPro di telefon pintar.