KUALA LUMPUR: Dua pengendali rangkaian mudah alih (MNO) iaitu Telekom Malaysia Bhd (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd (YES) telah mendapat persetujuan daripada ahli Lembaga Pengarah mereka dan bersedia menandatangani perjanjian untuk melanggan saham Digital Nasional Bhd (DNB) bagi pelaksanaan 5G di Malaysia.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Digi.com Bhd dan Celcom Axiata Bhd pula masih memerlukan kelulusan daripada ahli Lembaga Pengarah mereka untuk membuat keputusan sama ada untuk meningkatkan pegangan ekuiti mereka dalam DNB.

"Kesemua empat MNO kekal positif dalam melanggan saham DNB dan kita memberi mereka masa selama dua minggu untuk menandatangani perjanjian itu mulai 31 Ogos lepas," katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan '30% Club Board Mentoring Scheme' di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata kerajaan turut mempelawa MNO yang terlibat untuk mengambil peluang meningkatkan pegangan ekuiti dalam DNB.

Katanya proses tersebut sedang berjalan dan akan mengambil masa selama seminggu atau dua minggu untuk selesai.

"Dalam proses itu, kita telah bersetuju bahawa jika ada MNO yang tidak mengambil bahagian, mereka yang lain boleh meningkatkan pegangan ekuiti dan jika tidak, ia terhad kepada 70 peratus untuk enam MNO," katanya.

Difahamkan, Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd tidak bercadang untuk mengambil kepentingan dalam DNB.

Empat MNO iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi.com Bhd, YTL Communications Sdn Bhd (YES) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) masih tetap dengan keputusan masing-masing untuk melanggan saham DNB.

"Apabila dua MNO menarik diri, pegangan ekuiti berubah kerana kerajaan hanya ingin memegang 30 peratus kepentingan. Kita ingin memberi 70 peratus kepada pemain industri iaitu MNO," katanya.

Katanya ada juga yang mencadangkan sekiranya pegangan ekuiti ini boleh dibuka kepada syarikat baharu dan asing semasa perbincangan antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).

"Kita difahamkan ada MNO asing yang berminat dan mereka ini adalah syarikat besar yang telah melaksanakan 5G di negara lain," katanya.

Beliau percaya bahawa K-KOMM serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan membuat pertimbangan sewajarnya kerana pemain industri yang ramai mampu memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna di Malaysia.

"Selagi pemain baharu atau pemain sedia ada dapat membantu untuk mempercepatkan pelaksanaan 5G kepada rakyat, Kementerian kewangan akan memberi sokongan penuh," katanya.

Terdahulu, Tengku Zafrul memberitahu Bernama bahawa MNO yang tidak melanggan saham DNB, masih boleh menawarkan akses 5G melalui Perjanjian Akses 5G.

Katanya keputusan dua MNO untuk tidak melanggan saham DNB tidak memberi impak besar kepada kerajaan dari segi kewangan kerana terdapat beberapa bank tempatan dan juga bank asing yang bersedia untuk membiayai pelaksanaan 5G di Malaysia.

-- BERNAMA