CYBERJAYA: Top Glove Corporation Bhd mengunjurkan prestasi pendapatan yang lebih baik bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Ogos, 2026 disokong oleh permintaan sarung tangan global yang kekal kukuh serta harga jualan purata (ASP) yang lebih tinggi.
Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata permintaan sarung tangan global terus berkembang kira-kira 10 peratus setahun manakala beberapa kekangan penawaran turut menyokong harga jualan.
"Permintaan semakin meningkat setiap tahun kira-kira 10 peratus, jadi permintaan adalah baik. Apabila permintaan melebihi penawaran, harga akan naik. Kini, beberapa kilang mungkin terjejas, jadi bekalan sedikit terjejas atau terhad manakala permintaan kekal kukuh," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran 'Stuck in the Middle', sebuah buku karya Pro Canselor Universiti Cyberjaya Tan Sri Dr R. Palan.
Lim menyatakan bahawa dinamik permintaan dan penawaran yang semakin kukuh dijangka menyumbang kepada prestasi lebih baik bagi pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu berbanding tahun kewangan sebelumnya.
“Keuntungan akan jauh lebih baik berbanding setahun lepas. Prospeknya baik. Kami akan mengumumkan keputusan bagi Ogos 2026 bulan depan iaitu pada 6 Oktober. Suku tahun ini dan prestasi setahun penuh akan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.
Lim menegaskan permintaan yang lebih kukuh dan harga jualan yang lebih tinggi merupakan faktor utama yang menyokong prospek yang semakin baik itu.
Beliau berkata konflik geopolitik atau pandemik juga boleh mendorong pelanggan meningkatkan pesanan sebagai langkah berjaga-jaga sekali gus terus menyokong permintaan dan harga sarung tangan.
"Kebiasaannya, apabila berlaku peperangan atau pandemik, pelanggan atau pengguna kadang kala berasa sedikit cemas, jadi mereka membeli dan membuat pesanan lebih sedikit.
“Apabila harga sarung tangan meningkat, ia memberi kebaikan kepada keseluruhan industri dan rantau bekalan, jadi kebolehuntungan akan menjadi lebih baik," jelas beliau.
Keuntungan bersih Top Glove melonjak kepada RM80.98 juta pada suku ketiga yang berakhir 31 Mei, 2026 daripada RM34.74 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya manakala perolehan turut meningkat kepada RM1.09 bilion daripada RM830.25 juta sebelumnya.
-- BERNAMA