KUALA LUMPUR:
UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) melaporkan penyampaian hasil lebih baik bernilai 14.1 peratus untuk tahun kewangan 2023 (TK2023) berbanding RM2.5 bilion pada tahun sebelumnya, sekaligus mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 2 sen.

Namun keuntungan syarikat pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur terkemuka itu menjadi sederhana, iaitu RM30.1 juta selepas cukai, penurunan 34.1 peratus berbanding RM45.7 juta pada TK2022 ekoran tekanan inflasi global dan peningkatan kos operasi.

Walau hasil suku keempat tahun fiskal 2023 UEM Edgenta mencatat peningkatan kepada RM806.9 juta iaitu peningkatan daripada pendapatan suku sebelumnya iaitu RM710.5 juta, keuntungan bersih susut 92.9 peratus suku-ke-suku berbanding keuntungan RM21.0 juta pada suku sebelumnya.

Meskipun mengalami kemerosotan keuntungan, UEM Edgenta mengekalkan kedudukan kewangan yang sihat, dengan nisbah penggearan rendah 0.3 kali dan tunai serta baki bank pada RM644.2 juta, menunjukkan kestabilan dan kecairan kewangan.


Kata Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin, hasil teguh syarikat itu tahun lepas adalah yang tertinggi dalam tempoh enam tahun, didorong kadar pembaharuan kontrak yang tinggi dan pesanan kerja yang direalisasikan daripada perolehan kontrak tahun ke tahun dengan sumbangan sulung daripada Arab Saudi dan disokong pengukuhan Dolar Singapura (SGD).

“Rentetan inflasi penolakan kos serta peningkatan berterusan kos bahan mentah dan buruh yang memberi kesan secara langsung kepada struktur kos kami serta kesan aliran daripada peningkatan kos subkontraktor/vendor, marjin keuntungan disederhanakan merentas perniagaan.

“Sebahagian daripada impak ini telahpun dikurangkan melalui strategi kepelbagaian portfolio pelbagai sektor, kepelbagaian geografi kami, disokong oleh penjimatan yang dipacu melalui pengurusan kos yang ketat, inisiatif kecekapan operasi dan mengoptimumkan pengurusan rantaian bekalan.”

Ketika mengharungi cabaran semasa, tegas Syahrunizam pihaknya komited untuk melaksanakan strategi jangka panjang mereka di bawah kerangka “Edgenta of the Future 2025” (EoTF 2025), dipacu pelaburan dalam teknologi dan pasaran baharu serta mengoptimumkan cara beroperasi.

Justeru beliau menyatakan bahawa UEM Edgenta akan memperbaiki pencapaian tahun lepas, di mana usaha penambah baikan akan didorong kawalan kos berbanding hasil.

Di samping mempertingkat pendapatan, ujar beliau lagi kumpulan itu komited untuk memulangkan dividen yang lebih besar untuk tahun 2024, menyasarkan pemberian 4 sen kepada para pemegang saham.