JOHOR BAHRU: Unifi Business terus memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi penyelesaian transformasi digital dan keselamatan siber bagi membantu usahawan meningkatkan daya saing dalam ekonomi digital.
Naib Presiden Unifi Business, Mohamad Yusman Ameeran berkata, Unifi Business bukan sekadar menyediakan perkhidmatan internet, malah menawarkan pelbagai penyelesaian digital termasuk keselamatan siber, pemasaran digital serta produktiviti bagi membantu PMKS mengembangkan perniagaan.
Menurut beliau, terdapat kira-kira 1.2 juta usahawan PMKS yang kebanyakannya terdiri daripada perusahaan mikro, memerlukan sokongan khusus untuk meningkatkan jualan dan pemasaran.
"Memang kita mengetahui bahawa PMKS ada dua kekangan, dari segi kewangan dan kemahiran. Oleh itu, apa yang kita sediakan, semua mampu milik.
"Contohnya, penyelesaian pemasaran digital, daripada dia bayar sekali dengan harga yang besar, kita berikan ruang untuk mereka membayar ansuran bulanan.
"Apabila kita beri ruang untuk mereka membuatkan jualan dan pemasaran secara dalam talian, satu benda yang kita juga ingin membantu mereka adalah, memastikan mereka selamat daripada serangan siber," katanya ketika ditemui di acara Unifi Business Terpaling Letopz sempena Hari PKMS 2026 di AEON Mall Bukit Indah, Iskandar Puteri.
Beliau berkata ushawan PMKS kini turut berdepan peningkatan risiko ancaman siber, berikutan kebanyakan syarikat tidak mempunyai pasukan keselamatan siber khusus.
"Jadi, kita mengadakan satu solusi NetShield, rangkaian yang lebih selamat, memberi 24 jam perlindungan, supaya mereka yang melakukan transaksi dalam talian ini selamat.
"Kalau ada laman-laman sesawang yang bahaya ini, termasuk juga malware, ini yang kita adakan untuk mereka. Hanya perlu melanggan. Semua akan dijalankan secara automatik di rangkaian Telekom Malaysia (TM) Unifi Business.
"Bukan hanya memberikan mereka penyelesaian pemasaran untuk meningkatkan jualan, tetapi memastikan data mereka juga selamat daripada ancaman siber," jelasnya.
Tambah Mohamad Yusman, setiap penyelesaian yang ditawarkan adalah mengikut keperluan sebenar PMKS dengan mengambil kira kekangan kemahiran dan kewangan.
Katanya, Unifi Business menyediakan pasukan untuk membantu menghasilkan kandungan, copywriting (penulisan iklan) serta pengurus kempen bagi memastikan pemasaran digital efektif dan lebih berkesan, selain memastikan aspek keselamatan siber terus diberi keutamaan.
Kempen kesedaran turut memainkan peranan penting bagi membantu usahawan PMKS memahami penyelesaian digital yang sesuai dengan keperluan mereka, di samping mempelajari cara menggunakan teknologi digital secara lebih selamat dan berkesan untuk mengembangkan perniagaan
Tambah beliau, transfomasi digital tidak hanya bergantung pada teknologi semata-mata, sebaliknya memerlukan perhatian terhadap aspek organisasi dan persekitaran dalam memacu perkembangan PMKS dari segi penggunaan teknologi digital.
"Kita tahu persekitaran ini bergantung kepada kehendak pelanggan yang berbeza dan persaingan. Bagi Unifi Business, kita ingin memberikan sokongan dari segi kemahiran penggunaan teknologi.
"Kemahiran pula penting untuk mereka menggunakan teknologi ini dengan lebih selamat dan lebih efektif agar teknologi dapat digunakan dengan lebih cekap," katanya.
Sementara itu, Mohamad Yusman turut menggesa usahawan PMKS supaya memanfaatkan peluang yang disediakan bagi mempercepatkan transformasi digital perniagaan masing-masing.
"Yang lebih penting adalah, memastikan keselamatan mereka dalam landskap digital ini, dengan menggunakan penyelesaian sedia ada dan melihat bagaimana usahawan-usahawan lain yang berjaya menggunakan teknologi digital ini.
"Jadi nasihat saya, kita sama-sama merebut peluang ini dengan menghadiri program-program yang dianjurkan atau mengunjungi kedai Unifi serta portal kami bagi mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana teknologi digital mampu membantu mengembangkan perniagaan secara lebih berkesan," katanya.