KUALA LUMPUR: Penugasan baharu Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya akan ditentukan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan beliau ditamatkan lebih awal daripada penempatan sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata pelantikan Mohd Shuhaily ke jawatan itu sebelum ini mendapat perkenan Seri Paduka Baginda memandangkan beliau adalah pegawai kader polis.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata PDRM sedang menunggu nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara sebelum surat rasmi dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan untuk mengembalikan Mohd Shuhaily kepada pasukan polis.
“Sehingga perkenan itu diberi, saya masih menunggu. Jadi, saya tidak dapat memastikan (status penugasan baharu) dan sudah pasti beliau akan kembali kepada PDRM kerana beliau adalah pegawai polis," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang Persatuan Bekas Polis Malaysia 2026 di sebuah hotel di sini malam ini.
Mohd Khalid ketika mengulas lanjut mengenai tugas dan tindakan susulan terhadap Mohd Shuhaily selepas kembali ke PDRM berkata belum ada sebarang keputusan dibuat setakat ini.
“Bila beliau kembali kepada saya, barulah kami melihat tindakan selanjutnya yang boleh diambil berdasarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Kami ini kakitangan kerajaan, semuanya tertakluk kepada SPA dan Suruhanjaya Pasukan Polis untuk tatatertib,” katanya.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan kementeriannya memutuskan minggu lepas untuk mengembalikan Mohd Shuhaily ke PDRM selepas tempoh peminjamannya di AKPS berakhir, selain menyerahkan urusan penentuan penugasan baharu beliau kepada pucuk pimpinan polis.
Mohd Shuhaily dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS bagi tempoh dua tahun bermula 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027.
Pada 21 Okt lepas, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Sept.
-- BERNAMA