KUALA LUMPUR: Anak syarikat Kulim (Malaysia) Bhd, Mahamurni Plantations Sdn Bhd (MPSB), memeterai perjanjian pengurusan dengan Southern Catalyst Sdn Bhd (SCSB) bagi mengambil alih operasi Ladang Air Manis di Sedenak, Johor.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Kulim, anak syarikat milik penuh Johor Corporation, berkata MPSB akan menguruskan kawasan tanaman seluas 818 hektar Ladang Air Manis yang bersebelahan dengan jalan persekutuan Kulai-Sedenak, kira-kira 12 kilometer (km) dari Kilang Sawit Sedenak Kulim.

Perjanjian itu adalah bagi tempoh setahun dan boleh diperbaharui setiap tahun.

Pengarah Urusan Kulim Mohd Faris Adli Shukery mewakili MPSB manakala SCSB diwakili Ketua Pegawai Operasi Mohd Nazree Abu Kassim.

Menurut kenyataan itu, menguruskan ladang pihak ketiga adalah selaras dengan strategi perniagaan Kulim bagi mewujudkan sinergi untuk meraih manfaat bagi kedua-dua pihak pada kadar yang kompetitif, dan menambah bahawa syarikat mempunyai kepakaran pengurusan untuk memberi perkhidmatan dalam industri perladangan.

Operasi perladangan Kulim di Malaysia meliputi kawasan seluas 55,796 hektar. Ia mempunyai lima kilang kelapa sawit, yang memproses purata 1.4 juta tan metrik buah tandan segar setiap tahun.

Kumpulan itu menghasilkan 295,747 tan metrik minyak sawit mentah pada 2021, menurut kenyataan itu.

Kesemua 23 ladang dan lima kilang sawit Kulim berada di bawah pensijilan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari, atau diperakui RSPO.

"Kulim berbesar hati apabila berpeluang menguruskan Ladang Air Manis, yang akan mengembangkan pangkalan pengeluaran kumpulan dan meningkatkan keuntungan dari segi kos kerana berdekatan dengan kilang sawit kami," kata Mohd Faris.

"Sebagai peserta perniagaan tani yang bertanggungjawab, Kulim akan menerapkan amalan pertanian terbaiknya untuk pertumbuhan optimum dan pengeluaran yang mampan," katanya.

Sementara itu, Mohd Nazree berkata syarikat menantikan perjalanan menarik yang akan dilaluinya dengan Kulim.

Katanya perkongsian itu sesuai dengan aktiviti perladangan huluan dan hilirannya.

-- BERNAMA