KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh LYC Healthcare Bhd, LYC Medicare Sdn Bhd (LYC MY) memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersyarat dengan Kenanga Investors Bhd (KIB) untuk penjualan 6.53 juta saham biasa dalam LYC Medicare (Singapore) Pte Ltd (LYC SG) bernilai S$12.9 juta (RM39.9 juta).

Penjualan yang dicadangkan itu mewakili 25 peratus daripada saham-saham tersebut.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, LYC Healthcare berkata LYC MY masih memegang baki 75 peratus pegangan saham dalam LYC SG selepas cadangan penjualan 25 peratus itu.

Katanya cadangan penjualan kepada KIB itu memberikan penilaian baharu untuk LYC SG pada S$51.67 juta (RM159.7 juta), yang menunjukkan peningkatan dalam penilaian LYC SG hampir dua kali ganda dalam masa kurang daripada dua tahun.

Syarikat itu berkata cadangan penjualan itu memberikan kumpulan itu peluang segera bagi memanfaatkan dan merealisasikan nilai LYC SG, sekali gus memberikan aliran tunai lebihan sebanyak S$12.92 juta (RM39.93 juta).

"Hasil daripada cadangan penjualan itu akan membolehkan kumpulan itu menyelesaikan sebahagian penebusan saham keutamaan boleh tebus tertunggaknya sebanyak RM30 juta, yang dijangka memberikan penjimatan kadar dividen antara RM2.70 juta hingga RM2.85 juta setahun," katanya.

Di samping itu, memandangkan sebahagian daripada hasil cadangan penjualan itu diperuntukkan untuk objektif pengembangan perniagaan, ini membolehkan kumpulan itu memanfaatkan peluang pelaburan yang sesuai dan berdaya maju dalam penyediaan perniagaan berkaitan penjagaan kesihatan dan penjagaan kesihatan, mengikut fleksibiliti kumpulan terhadap pengurusan profil risiko kewangan dan kedudukan aliran tunainya.

-- BERNAMA