Skip to main content

Dunia

PM Carney beri bayangan rancangan ‘pakatan unik’ antara Kanada, EU

Canadian Prime Minister Mark Carney arrives at the TIFF Tribute Awards at the Fairmont Royal York hotel during the Toronto International Film Festival on Sunday, Sept. 13, 2026, in Toronto. (Photo by Joel C Ryan/Invision/AP)
Mark Carney hadir pada Festival Filem Antarabangsa Toronto, di Toronto, 13 Sept 2026. (Foto AP)
Advertisement

ISTANBUL: Perdana Menteri Kanada Mark Carney berkata negaranya sedang bersiap sedia memulakan perbincangan dengan Kesatuan Eropah (EU) mengenai bentuk perkongsian baharu yang lebih mendalam, sambil menegaskan Ottawa tidak berhasrat memohon keanggotaan EU, lapor Anadolu Ajansi.

Berucap di Toronto pada petang Ahad, Carney berkata kerajaannya sedang mempertimbangkan satu “pakatan unik” dengan blok 27 negara itu berasaskan nilai, keutamaan bersama dan kekuatan ekonomi yang saling melengkapi.

“Kami tidak berhasrat untuk menjadi anggota Kesatuan Eropah,” kata Carney ketika menghadiri Festival Filem Antarabangsa Toronto.

Sebaliknya, beliau berkata Kanada mahu meneroka satu bentuk kerjasama yang berpotensi memperkukuh hubungan ekonomi, politik dan strategik dengan Eropah secara ketara.

Kenyataan Carney menyusul selepas laporan The Wall Street Journal bahawa kerajaannya sedang meneliti beberapa pendekatan bercita-cita tinggi untuk mempererat hubungan dengan EU tanpa mendapatkan keanggotaan penuh.

Laporan itu berkata Carney meminta pasukannya meneliti beberapa pilihan yang mungkin termasuk status “ahli bersekutu”.

Kemungkinan itu segera mendapat kritikan daripada Ketua Parti Konservatif Pierre Poilievre yang menuduh perdana menteri itu tidak memahami keadaan sebenar.

“Kami TIDAK AKAN sesekali menjadi negeri ke-51 Amerika Syarikat.

“Dan kami TIDAK AKAN sesekali menjadi negara anggota EU ke-28,” kata Poilievre dalam hantaran media sosial.

Carney dijangka menghuraikan dengan lebih lanjut visinya mengenai hubungan Kanada dengan Eropah ketika berucap di Parlimen Eropah minggu ini.

Inisiatif itu muncul ketika Kanada berusaha memperluas perkongsian ekonomi antarabangsanya dan mengukuhkan hubungan dengan sekutu di tengah-tengah ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam hubungannya dengan Amerika Syarikat.

Bagi kerajaan Carney, cadangan pakatan itu mungkin menjadi usaha untuk meletakkan Kanada dengan lebih kukuh di antara dua blok ekonomi utama sambil mengekalkan autonomi politiknya.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement