KUALA LUMPUR: Penyelidikan dan inovasi tempatan perlu diterjemahkan kepada nilai ekonomi sebenar bagi memastikan hasil teknologi tidak terhenti di peringkat makmal, sebaliknya mampu berkembang ke pasaran dan memberi impak lebih luas kepada negara.
Ke arah itu, University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026 menghimpunkan universiti, penyelidik, pemain industri, pelabur serta agensi berkaitan bagi mempertemukan idea, teknologi dan hasil penyelidikan dengan peluang pelaburan dan pasaran.
Dengan memberi tumpuan kepada penyelidikan yang mempunyai potensi ekonomi dan aplikasi sebenar, URIIS 2026 menyediakan ruang kepada penyelidik untuk mendapatkan perspektif industri, selain membuka peluang kepada pelabur dan syarikat mengenal pasti teknologi yang berpotensi untuk dibangunkan bersama.
Acara itu merangkumi 12 industri berorientasikan masa hadapan, termasuk teknologi, kesihatan, tenaga, keterjaminan makanan, digitalisasi serta sektor strategik lain, sekali gus mencerminkan potensi inovasi tempatan untuk memenuhi keperluan industri dan ekonomi negara.
Dalam masa sama, URIIS 2026 mengetengahkan peranan universiti bukan sekadar sebagai pusat pendidikan dan penyelidikan, tetapi juga sebagai sumber teknologi, kepakaran dan penyelesaian baharu yang boleh dikembangkan bersama industri.
Fokus utama adalah mewujudkan laluan lebih jelas daripada penyelidikan kepada teknologi, pelaburan, pengkomersialan dan seterusnya pasaran, selain membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik antara universiti, industri, kerajaan, penyelidik dan pelabur.
Pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi juga penting dalam meningkatkan daya saing Malaysia, termasuk membuka ruang kepada pertumbuhan syarikat tempatan, penciptaan industri baharu dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
URIIS 2026 bakal berlangsung dari 21 hingga 23 September depan di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL) dengan peluang untuk pengunjung melihat sendiri pelbagai teknologi, hasil penyelidikan dan potensi kolaborasi daripada ekosistem inovasi Malaysia.
Selain pameran teknologi, program itu turut menyediakan ruang pertemuan antara penyelidik, industri dan pelabur menerusi sesi pembentangan, dialog industri serta program berkaitan kesiapsiagaan pasaran dan pengkomersialan.
Melalui kerjasama rentas sektor, URIIS 2026 menyasarkan untuk mempercepatkan penerokaan dan pengkomersialan teknologi tempatan, meningkatkan keterlihatan penyelidikan Malaysia dalam kalangan industri dan pelabur serta menjadikan inovasi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.