KUANTAN: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyarankan lebih banyak usahawan di Pahang menyertai program MYStartup yang dilaksanakan oleh agensinya, Cradle Fund Sdn Bhd.

Menterinya Datuk Sri Dr Adham Baba berkata setakat ini, bilangan syarikat pemula di Pahang yang berdaftar masih berada pada tahap yang rendah iaitu hanya 13 syarikat daripada sektor edutech, agritech, e-dagang, logistik dan kesihatan.

"Jumlah itu merupakan daripada 3,567 syarikat pemula yang telah berdaftar yang kebanyakannya tertumpu di ibu negara, bagaimanapun saya telah memperoleh maklum balas daripada Cradle berhubung cabaran yang dihadapi mereka di Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian 'MYStartup East Coast Region Roadshow' Pahang di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Program MYStartup yang menyasarkan sebanyak 5,000 syarikat pemula berdaftar menjelang 2025 itu bertujuan membimbing usahawan secara menyeluruh bermula daripada peringkat penciptaan idea, kemudian dilatih dan disokong melalui pembiayaan serta diberikan peluang untuk mengetengahkan profil syarikat mereka di platform MYStartup.

Dr Adham berkata tiga intervensi dilihat bersesuaian untuk dilaksanakan bagi memperkukuhkan ekosistem syarikat pemula di Pahang iaitu klinik geran serta pembangunan kapasiti bersama komuniti, bengkel atau program pembangunan perniagaan seperti pitching clinic dan MYStartup bootcamp bersama usahawan teknologi.

Mengenai program hari ini, beliau berkata Pahang merupakan negeri ketujuh yang menganjurkannya selepas Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Sarawak, Sabah dan Terengganu.

"Menerusi program dua hari di negeri ini, saya difahamkan taklimat mengenai inisiatif dan hala tuju industri start-up negara akan diberikan selain mengadakan sesi perkhidmatan perundingan secara bersemuka," katanya.

-- BERNAMA