KUALA LUMPUR: VFive Group Sdn Bhd menyifatkan penganjuran Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2026 oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) sebagai platform strategik yang mampu memperkukuh pembangunan bakat teknikal negara serta mempercepatkan adaptasi teknologi dan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pemain industri.
Pengasas dan Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, HPTN 2026 berpotensi menjadi pemangkin kepada jaringan kerjasama merentas sektor dengan menghimpunkan penggerak industri, institusi pendidikan, badan profesional serta generasi baharu bakat teknikal dalam satu ekosistem yang saling melengkapi.
Menurut beliau, pasaran semasa tidak lagi hanya memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran teknikal, sebaliknya individu yang mampu menyesuaikan diri dengan pantas terhadap perkembangan teknologi, automasi, sistem digital dan AI.
“Sehubungan itu, VFive Group tampil sebagai Rakan Strategik Nasional Eksklusif HPTN 2026 bagi menyokong usaha memperkasa pembangunan bakat teknikal, mempercepat penerapan teknologi serta meningkatkan daya saing industri negara secara menyeluruh.
“Kami menyokong penuh visi yang dibawa Kementerian Kerja Raya kerana inisiatif seperti ini membuka ruang lebih luas kepada syarikat Bumiputera untuk memperkukuh keupayaan dan bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Penglibatan VFive Group sebagai rakan strategik turut diiktiraf menerusi penyampaian sijil penghargaan kepada Ketua Pegawai Perniagaannya, Noorazly Ja’alam, pada Majlis Prapelancaran HPTN 2026 di Kuching, Sarawak pada Selasa.
HPTN 2026 yang membawa tema “Profesion Teknikal Pemacu Kelestarian” dijadual berlangsung pada 1 dan 2 Disember depan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak.
Dalam pada itu, Mohd Syafiq berkata sektor yang diceburi VFive Group termasuk pembinaan, pengurusan fasiliti, teknologi maklumat dan tenaga boleh diperbaharui kini semakin dipacu oleh penggunaan teknologi canggih seperti AI, Internet of Things (IoT), Building Information Modelling (BIM), Digital Twin dan automasi.
Jelas beliau, penerapan teknologi perlu bergerak seiring dengan pembangunan modal insan bagi memastikan peningkatan produktiviti, kecekapan operasi serta kualiti pelaksanaan projek.
“Dengan sokongan dan kerjasama kerajaan, kami akan memastikan VFive Group terus bergerak seiring dengan perkembangan teknologi yang pesat bagi menyumbang kepada pertumbuhan industri dan ekonomi negara,” katanya.
VFive Group merupakan kumpulan syarikat milikan penuh Bumiputera yang beroperasi sejak 2012 dan mempunyai kepakaran dalam bidang pembinaan, pengurusan fasiliti, pembangunan hartanah, teknologi maklumat, konsesi, pembekalan am serta tenaga boleh diperbaharui.