KUALA LUMPUR: XOX Technology Bhd bercadang untuk melaksanakan langkah mengurangkan modal dengan membatalkan sebahagian daripada modal saham terbitannya yang tidak diwakili oleh aset sebanyak RM65 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, penyedia perkhidmatan mudah alih itu berkata kredit berpadanan berjumlah RM65 juta daripada langkah tersebut akan digunakan untuk mengurangkan kerugian terkumpul syarikat, manakala baki selebihnya, sekiranya ada, akan dikreditkan kepada keuntungan terkumpul.

Jumlah modal saham terbitan kumpulan itu sehingga 28 Dis 2022 adalah RM82.05 juta yang terdiri daripada 896.18 juta saham biasa, dengan 2.56 juta saham XOX sebagai saham perbendaharaan oleh syarikat itu, katanya.

Menurut kumpulan, langkah yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan harga sahamnya terlaras, tidak mengubah jumlah saham yang diterbitkan serta tidak membabitkan sebarang pembayaran pemegang saham.

Malah, ia juga tidak menyebabkan berlakunya sebarang aliran keluar tunai atau mengubah aset bersih kumpulan selain daripada perbelanjaan anggaran disebabkan langkah yang dicadangkan itu.

"Sesulan kerugian terkumpul itu, modal saham yang akan dibatalkan, sebahagian besarnya tidak lagi diwakili oleh aset sedia ada syarikat. Justeru, ia akan membolehkan syarikat untuk menghapuskan kerugian terkumpulnya bagi menggambarkan nilai aset pendasar dan kedudukan kewangannya dengan lebih tepat," menurut makluman itu.

Pengurangan modal yang dicadangkan itu akan turut meningkatkan keupayaan XOX untuk mengumumkan dan membayar dividen daripada keuntungan terkumpulnya pada masa depan iaitu pada waktu yang sesuai, apabila ia kembali mencatatkan keuntungan, katanya.

Satu mesyuarat agung luar biasa akan diadakan untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham atau mana-mana pihak lain yang berkaitan.

-- BERNAMA