China dilanda 10 gempa bumi dengan magnitud empat ke atas dalam tempoh empat hari sejak 18 Feb menimbulkan kebimbangan di kalangan orang awam.

Dongfang Daily yang berpangkalan di Shanghai melaporkan pada Jumaat sahaja, berlaku enam gempa bumi dalam tempoh 10 jam.

"Pada 19 Feb, beberapa bandar di wilayah Sichuan digegar dengan gempa bumi," lapor akhbar itu.

Akhbar harian itu memetik kenyataan Biro Gempa Bumi Guangdong sebagai berkata gempa terbaharu dengan magnitud 4.8 yang melanda negeri Dongyuan di Heyuan pada 11:34 pagi Jumaat, hanya satu kilometer dari kawasan lain yang dilanda gempa bumi.

Kejadian beberapa siri gempa bumi itu menimbulkan kebimbangan orang ramai akan kemungkinan berlaku gempa yang lebih besar.

Bagaimanapun, pakar dari China University of Geosciences, Prof Wan Tianfeng berkata semua gempa bumi itu di bawah magnitud enam, yang dianggap sebagai gempa bumi yang tidak membawa kemusnahan.

"Ini adalah aktiviti normal bumi, orang ramai tidak perlu panik terhadap perkara ini," katanya sebagaimana dipetik akhbar itu.