ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 11 orang cedera apabila sebuah kereta api penumpang tergelincir di selatan England pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi yang memetik pihak berkuasa tempatan.
Menurut Perkhidmatan Ambulans South East Coast, dua orang cedera parah manakala sembilan yang lain cedera ringan dalam kejadian berhampiran stesen kereta api Lewes di East Sussex.
Kira-kira 150 orang berada di dalam kereta api itu ketika sekurang-kurangnya tiga gerabak tergelincir daripada landasan dan terbalik, berdasarkan rakaman udara yang disiarkan Sky News.
Sebahagian mangsa yang cedera dibawa ke hospital berhampiran, manakala penumpang yang tidak memerlukan rawatan hospital dibawa ke sebuah pusat komuniti tempatan.
Polis Pengangkutan British mengisytiharkan insiden besar dan memaklumkan semua penumpang berjaya dipindahkan dengan selamat dari kereta api berkenaan.
Polis, anggota bomba, paramedik dan beberapa helikopter dikerahkan ke lokasi kejadian.
Cawangan Siasatan Kemalangan Rel menghantar pegawai penyiasat ke lokasi kejadian bagi mengumpul bukti dan mengenal pasti punca kereta api itu tergelincir.
Perkhidmatan kereta api di kawasan berkenaan terjejas, dengan penumpang dinasihatkan bersedia menghadapi kelewatan perjalanan yang ketara.
-- BERNAMA-ANADOLU