CAPE TOWN: Seramai 11 orang maut dalam tiga insiden tembakan berasingan di Cape Town, Afrika Selatan, antara Sabtu malam hingga awal pagi Ahad, menurut polis tempatan pada Ahad, lapor Xinhua.
"Detektif Unit Jenayah Berat Wilayah sedang menyiasat tiga insiden tembakan berasingan di Langa, Gugulethu dan Khayelitsha selepas 11 individu ditembak mati dalam kejadian semalaman," menurut Perkhidmatan Polis Afrika Selatan (SAPS) di Wilayah Cape Barat dalam satu kenyataan.
Di Khayelitsha, tiga lelaki berusia 25, 31 dan 35 tahun ditembak mati kira-kira 10.50 malam waktu tempatan pada Sabtu, menurut polis.
Sementara itu, empat lelaki dan seorang wanita maut dalam kejadian tembakan kira-kira 10.45 malam waktu tempatan di Langa.
Dalam insiden ketiga, dua lelaki dan seorang wanita ditembak mati kira-kira 4.10 pagi waktu tempatan pada Ahad di Gugulethu, manakala dua lagi cedera, menurut polis.
Polis berkata motif kejadian tembakan itu masih dalam siasatan dan tiada tangkapan dilakukan setakat ini.
-- BERNAMA-XINHUA