Skip to main content

Dunia

111 terkorban dalam gempa bumi 7.4 magnitud di Colombia

Residents and emergency personnel inspect the site of a collapsed building after an earthquake, in Dosquebradas, Colombia, August 10, 2026. REUTERSJuan David Duque
Penduduk dan pasukan penyelamat meninjau runtuhan bangunan yang musnah akibat gempa bumi di Dosquebradas, Colombia, pada Isnin. - Gambar Reuters
Advertisement

CALI, COLOMBIA: Sekurang-kurangnya 111 orang terbunuh selepas gempa bumi kuat bermagnitud 7.4 menggegarkan bahagian barat Colombia pada Isnin, mengakibatkan kemusnahan besar terhadap ratusan bangunan serta menyebabkan ramai penduduk terperangkap di bawah runtuhan.

Presiden Colombia, Abelardo de la Espriella berkata, sekurang-kurangnya 87 orang cedera manakala kira-kira 1,600 bangunan mengalami kerosakan, termasuk 61 premis yang runtuh sepenuhnya. 

Beliau turut mengisytiharkan darurat bagi mempercepatkan penyaluran dana pemulihan dan bantuan kepada mangsa.

"Kami tidak akan membiarkan rakyat bersendirian. Mereka sentiasa dalam ingatan kami dan kerajaan akan melakukan segala yang termampu untuk membantu," katanya.

Menurut Kaji Selidik Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa terletak di San Jose del Palmar, sebuah komuniti yang mempunyai kira-kira 4,800 penduduk di wilayah Choco, sekitar 400 kilometer di barat Bogota. 

Gegaran turut dirasai di Ecuador dan Panama, namun kerosakan di kedua-dua negara itu dilaporkan minimum.

Gempa berkenaan menyebabkan kemusnahan di beberapa bandar utama di barat Colombia termasuk Pereira, Quibdo, Cali dan Manizales. 

Di Cali, bandar ketiga terbesar negara itu, pasukan penyelamat bersama penduduk tempatan berganding bahu mencari mangsa yang masih terperangkap di bawah timbunan konkrit dan serpihan bangunan runtuh.

Perkhidmatan Geologi Colombia menyifatkan gempa itu sebagai yang paling kuat direkodkan di negara berkenaan pada abad ke-21. 

Pihak berkuasa turut mengesahkan sekurang-kurangnya 21 gegaran susulan berlaku selepas gempa utama.

Wilayah Choco yang terletak berhampiran pusat gempa merupakan antara kawasan termiskin di Colombia dan sebahagian besar kawasannya hanya boleh diakses melalui jalan air atau udara. 

Keadaan itu menyukarkan usaha pihak berkuasa untuk menilai tahap sebenar kerosakan serta jumlah mangsa yang terjejas.

Seorang pemandu teksi di Cali, Jorge Moncayo, 64, berkata, dia melihat debu tebal menyelubungi bandar itu ketika beberapa bangunan runtuh akibat gegaran kuat.

"Seluruh rumah saya bergegar. Saya tidak pernah mengalami gempa sekuat ini sepanjang hidup. Kami bersyukur masih hidup," katanya.

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan, sekurang-kurangnya 40 kematian direkodkan di wilayah Risaralda yang merangkumi bandar Pereira, manakala 27 lagi di Valle del Cauca termasuk tiga kanak-kanak. 

Sembilan kematian turut dilaporkan di Choco, selain dua di Caldas dan seorang warga emas berusia 73 tahun di Antioquia.

Operasi penerbangan di beberapa lapangan terbang termasuk Manizales, Quibdo, Armenia, Cartago, Buenaventura dan Pereira turut digantung sementara bagi membolehkan pemeriksaan keselamatan dilaksanakan.

Di Pereira, rakaman video yang dikongsi media tempatan menunjukkan sebahagian siling lapangan terbang runtuh ketika orang ramai mencari perlindungan. 

Datuk Bandar Pereira, Mauricio Salazar berkata, masih ramai mangsa dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Sementara itu, di Manizales, salah satu menara katedral neo-Gothic runtuh dan menghempap bahagian utama bangunan gereja berkenaan. 

Penduduk diminta berada di kawasan terbuka berikutan kebimbangan terhadap gegaran susulan.

Datuk Bandar Cali, Alejandro Eder, berkata sekurang-kurangnya 19 bangunan runtuh di Cali - bandar yang mempunyai sekitar dua juta penduduk dengan ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan.

Gempa bumi besar jarang berlaku di Colombia, walaupun gegaran kecil yang dikenali sebagai temblor kerap dirasai di bahagian tengah dan barat negara itu. Pada 1999, gempa bermagnitud 6.2 berhampiran bandar Armenia meragut lebih 1,100 nyawa.

Bencana kali ini dilihat sebagai cabaran besar pertama yang dihadapi Presiden de la Espriella yang baru mengangkat sumpah jawatan hujung minggu lalu. 

Beliau sendiri akan mengetuai sendiri gerakan kerajaan dalam menangani bencana tersebut.

Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Mexico, Brazil, Ecuador dan El Salvador telah menyampaikan mesej sokongan kepada Colombia, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan kesediaan membantu usaha bantuan kemanusiaan sekiranya diperlukan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement