Skip to main content

Dunia

Jam tangan milik mangsa tragedi Titanic dijangka dilelong pada harga sehingga AS$78,900

Jam itu akan dilelong oleh firma pelelong Henry Aldridge & Son di Devizes, Wiltshire pada 21 Nov 2026, dengan penjualan dilakukan oleh keluarga Mangan. - Foto X/Mayo.ie
Jam itu akan dilelong oleh firma pelelong Henry Aldridge & Son di Devizes, Wiltshire pada 21 Nov 2026, dengan penjualan dilakukan oleh keluarga Mangan. - Foto X/Mayo.ie
Advertisement

LONDON: Seutas jam tangan yang ditemukan pada jasad seorang penumpang yang maut dalam tragedi kapal Titanic dijangka memperoleh harga sehingga £60,000 (AS$78,900) dalam satu lelongan di United Kingdom (UK), lapor PA Media/dpa.

Mary Mangan, 32, merupakan penumpang kelas ketiga kapal malang itu yang karam pada April 1912, mengorbankan kira-kira 1,500 nyawa.

Mangan yang dilahirkan di Ireland menaiki kapal itu bersama sekumpulan besar penumpang dari County Mayo, di bahagian barat Ireland, yang kini dikenali sebagai Addergoole 14.

Advertisement

Antara anggota kumpulan itu ialah Catherine McGowan; adik-beradik John dan Mary Bourke; serta bekas isteri John Bourke, Catherine.

Mangan pernah menetap di Amerika Syarikat (AS) sebelum pulang ke Ireland pada awal 1912 untuk menziarahi keluarga. Beliau menaiki Titanic di Queenstown, yang kini dikenali sebagai Cobh, di bahagian selatan negara itu.

Advertisement

"Satu-satunya catatan yang diketahui mengenai Mangan ketika kapal itu karam adalah daripada mangsa terselamat iaitu Mayo, Annie Kelly, yang menceritakan bahawa beliau bersama Mangan dan keluarga Bourke ketika mereka bergegas menuju ke tangga yang boleh membawa mereka ke dek kelas kedua," kata pelelong Andrew Aldridge.

"Bagaimanapun, sama ada Mary berjaya sampai ke dek atas masih belum dapat dipastikan."

Jam poket daripada logam berwarna kuning itu, yang terukir dengan huruf awal nama MM, mengalami hakisan teruk akibat terendam di Lautan Atlantik Utara.

Jasad Mangan ditemukan oleh kapal kabel CS MacKay-Bennett sebelum dikebumikan di laut pada 22 April 1912.

Jam tangan itu ditemukan pada jasadnya dan kemudian diserahkan kepada keluarganya bersama barangan peribadi yang lain.

Jam berkenaan baru-baru ini dipamerkan selama beberapa minggu bersama koleksi barangan peninggalan Mangan yang lain di Titanic Belfast, sebuah tarikan pelancongan di Belfast, Ireland Utara.

Jam itu akan dilelong oleh firma pelelong Henry Aldridge & Son di Devizes, Wiltshire pada 21 Nov 2026, dengan penjualan dilakukan oleh keluarga Mangan.

"Jam tangan ini mempunyai nilai ikonik dalam pelbagai aspek. Mekanisme jam itu seolah-olah terhenti mengikut detik masa ketika ia terendam di Lautan Atlantik Utara pada awal pagi 15 April 1912, namun ia juga pernah menjadi milik seorang penumpang kelas ketiga, iaitu golongan yang kadangkala dilupakan," kata Aldridge.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement