Skip to main content

Dunia

Sanders gesa AS tamatkan perang dengan Iran, kurangkan perbelanjaan ketenteraan

Sanders berulang kali memberi amaran bahawa konflik baharu di Asia Barat hanya akan memburukkan lagi ketidakstabilan di rantau itu. - Foto fail/AP
Sanders berulang kali memberi amaran bahawa konflik baharu di Asia Barat hanya akan memburukkan lagi ketidakstabilan di rantau itu. - Foto fail/AP
Advertisement

WASHINGTON: Senator veteran Amerika Syarikat (AS), Bernie Sanders, menggesa pentadbiran negara itu menamatkan konflik dengan Iran, mengurangkan perbelanjaan ketenteraan serta menghentikan pembiayaan kepada kerajaan Israel yang disifatkannya sebagai ekstremis.

Menurut laporan Al Jazeera, Sanders menyuarakan pendirian itu menerusi hantaran di platform X ketika perdebatan mengenai konflik di Asia Barat terus memuncak.

“Kita membelanjakan lebih banyak untuk ketenteraan berbanding gabungan enam negara berikutnya, namun Pentagon masih tidak dapat menjelaskan ke mana perginya trilion dolar yang dibelanjakan,” kata Sanders.

Advertisement

Beliau turut menegaskan bahawa Washington perlu menamatkan perang dengan Iran, mengurangkan peruntukan pertahanan dan menghentikan sokongan kewangan kepada kerajaan Israel.

Sanders, yang sekian lama menjadi pengkritik campur tangan ketenteraan AS di luar negara, berulang kali memberi amaran bahawa konflik baharu di Asia Barat hanya akan memburukkan lagi ketidakstabilan di rantau itu.

Advertisement

Pada Jun tahun lalu, senator dari Vermont itu memperkenalkan rang undang-undang dikenali sebagai No War Against Iran Act, yang bertujuan menghalang penglibatan ketenteraan AS dalam perang dengan Tehran tanpa kebenaran Kongres.

Ketika mengumumkan cadangan undang-undang berkenaan, Sanders berkata satu lagi peperangan di Asia Barat berisiko meragut lebih banyak nyawa, menelan kos bertrilion dolar serta mencetuskan gelombang baharu keganasan dan perpindahan penduduk.

Menurut Al Jazeera, kenyataan terbaharu Sanders mencerminkan pendirian konsistennya yang menolak peningkatan ketegangan ketenteraan dan menggesa penyelesaian diplomatik dalam konflik melibatkan Iran.

 

 

Must Watch Video

Advertisement