Skip to main content

Dunia

Kemarau di Amazon semakin memburuk, rumah terapung dan bot terkandas

Rumah-rumah terapung dan bot terkandas akibat kemarau yang menyebabkan paras air di tasik Puraquequara dan Aleixo menyusut, susulan kekurangan aliran air dari Sungai Amazon di negeri Amazonas, Brazil. - Foto REUTERS
Rumah-rumah terapung dan bot terkandas akibat kemarau yang menyebabkan paras air di tasik Puraquequara dan Aleixo menyusut, susulan kekurangan aliran air dari Sungai Amazon di negeri Amazonas, Brazil. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Kemarau berpanjangan akibat El Nino menyebabkan paras air sungai di Amazonas, Brazil menyusut, menjejaskan rumah terapung, bot, dan kehidupan penduduk setempat.
  • Seramai lebih 165,000 keluarga terkesan, dengan kerajaan negeri mengisytiharkan 52 daripada 62 kawasan perbandaran dalam keadaan darurat dan menyalurkan bantuan kecemasan.
  • Perkhidmatan Geologi Brazil menjangkakan El Nino berterusan sehingga suku pertama 2027, dengan risiko kemarau lebih teruk jika hujan di bawah paras normal berlanjutan.
Advertisement

MANAUS: Kemarau berpanjangan yang dikaitkan dengan fenomena El Nino terus menjejaskan negeri Amazonas di Brazil apabila paras air sungai semakin menyusut sehingga menyebabkan rumah terapung dan bot terkandas di kawasan berlumpur.

Rakaman dron di sekitar tasik Puraquequara dan Aleixo, berhampiran bandar Manaus, menunjukkan kediaman terapung serta bot tidak lagi berada di permukaan air, sebaliknya tersadai di atas tanah yang merekah akibat kekeringan.

Bangkai ikan turut kelihatan di beberapa kawasan tasik yang terjejas.

Advertisement

Seorang penduduk yang tinggal di rumah terapung di Tasik Puraquequara, Estelio Pinheiro Barbosa, berkata paras air terus menurun dengan pantas, malah susut kira-kira empat sentimeter dalam tempoh sehari.

Keadaan itu menambah kesukaran kepada penduduk setempat yang bergantung kepada laluan air untuk pergerakan harian, selain menjejaskan aktiviti ekonomi dan sumber pendapatan mereka.

Advertisement

Menurut laporan Reuters, 52 daripada 62 kawasan perbandaran di negeri Amazonas kini diisytiharkan berada dalam keadaan darurat akibat kemarau, manakala baki 10 kawasan termasuk Manaus berada pada tahap berjaga-jaga.

Kerajaan negeri memaklumkan lebih 165,000 keluarga terkesan oleh krisis berkenaan dan bantuan kecemasan sedang disalurkan menerusi Operasi Estiagem 2026.

Dalam fasa pertama operasi itu, kira-kira 96 tan bekalan makanan dihantar ke 15 kawasan yang paling terjejas, selain agihan peralatan berkaitan bekalan air bersih.

Sementara itu, Perkhidmatan Geologi Brazil (SGB) menjangkakan fenomena El Nino yang bermula tahun ini akan berterusan sehingga suku pertama 2027.

Agensi itu turut meramalkan taburan hujan di bawah paras normal sehingga Mac tahun depan, sekali gus meningkatkan risiko kemarau yang lebih teruk pada 2027 jika keadaan cuaca tidak berubah.

 

 

Must Watch Video

Advertisement