Skip to main content

Dunia

12 tan KitKat dicuri dalam rompakan “coklat” di Eropah, kata Nestle

Sumber: KITKAT
KitKat mengesahkan pihaknya bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan. - Foto X/KitKat

ROM: Sebanyak 12 tan coklat KitKat dilaporkan dicuri dalam satu rompakan besar-besaran di Eropah, berpotensi menjejaskan bekalan di pasaran ketika permintaan meningkat menjelang sambutan Easter.

KitKat, jenama milik gergasi makanan Switzerland, Nestle, memaklumkan kepada agensi berita AFP pada Sabtu bahawa sebuah trak yang membawa 413,793 unit rangkaian coklat baharunya telah dicuri ketika dalam perjalanan antara lokasi pengeluaran dan pengedaran di Eropah.

Advertisement

“Kami sentiasa menggalakkan orang ramai untuk ‘berehat seketika bersama KitKat’, namun nampaknya pencuri telah mengambil mesej itu secara terlalu literal dan ‘berehat’ dengan melarikan lebih 12 tan coklat kami,” kata jurucakap syarikat itu.

Menurut Nestle, trak berkenaan telah bertolak dari sebuah kilang di Itali tengah dan sedang menuju ke Poland sebelum dilaporkan hilang minggu lalu.

Sehingga kini, kenderaan tersebut bersama muatannya masih belum ditemui.

“Penyiasatan sedang dijalankan dengan kerjasama rapat pihak berkuasa tempatan dan rakan rantaian bekalan,” menurut kenyataan Nestle.

Syarikat itu memberi amaran bahawa kehilangan bar coklat tersebut berkemungkinan menyebabkan kekurangan KitKat di pasaran, sekali gus menyukarkan pengguna mendapatkan coklat kegemaran mereka menjelang sambutan Easter.

Nestle juga memaklumkan bahawa bar coklat yang dicuri berkemungkinan memasuki saluran jualan tidak rasmi di beberapa negara Eropah.

Bagaimanapun, Nestle menjelaskan setiap bar KitKat mempunyai kod kelompok unik yang membolehkan produk tersebut dikesan.

“Sekiranya terdapat padanan, pengimbas akan diberikan arahan jelas untuk memaklumkan KitKat, dan bukti akan dikendalikan dengan sewajarnya,” menurut syarikat itu.

Dalam kenyataan susulan pada Ahad, KitKat mengesahkan kejadian kecurian berkenaan dan memaklumkan bahawa pihaknya bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan.

“Berita baiknya, tiada kebimbangan terhadap keselamatan pengguna dan bekalan tidak terjejas,” menurut akaun rasmi KitKat di platform X.
 

Must Watch Video