SEKURANG-kurangnya 12 maut dan 12 lagi cedera dalam kejadian rempuhan berhampiran sebuah kuil di bandar Katra, tidak jauh dari Jammu, Kashmir, pada Sabtu.

Kejadian berlaku kira-kira 2.45 pagi waktu tempatan, selepas berlaku pertengkaran antara dua kumpulan, mengakibatkan orang ramai tolak-menolak hingga berlaku rempuhan.

Kebanyakan mangsa yang terkorban dikatakan penduduk Delhi, Haryana dan Punjab, serta seorang dari Kashmir, manakala mereka yang cedera dihantar ke hospital berhampiran.

Penganut Hindu melawat Kuil Mata Vaishnav Devi, yang terletak di bandar berbukit itu, untuk upacara sembahyang pada hari pertama setiap tahun.

Perdana Menteri Narendra Modi turut menzahirkan ucapan takziah buat mangsa terlibat menerusi Twitter.

Kuil itu, yang terletak di utara India, merupakan salah sebuah premis yang kerap dilawati pengunjung negara itu.