DUNIA
120 gempa bumi susulan di Kamchatka, Rusia dalam tempoh 24 jam

Gempa kuat pagi Rabu berukuran 8.8 magnitud, menjadikannya yang terkuat melanda wilayah itu sejak 1952. - Gambar fail/ Reuters
PETROPAVLOVSK-KAMCHATSKY (Rusia): Kira-kira 120 gempa bumi susulan yang berlaku selepas gempa bumi kuat pada Rabu (30 Julai) direkodkan di Semenanjung Kamchatka, Timur Jauh Rusia dalam tempoh 24 jam lepas, lapor Agensi Berita Rusia (TASS).
Ringkasan AI
- Kira-kira 120 gempa bumi susulan direkodkan dalam tempoh 24 jam selepas gempa bumi bermagnitud 8.8 melanda pesisir pantai Kamchatka pada 30 Julai, menjadikannya yang terkuat sejak 1952. Sebahagian gegaran dirasai di kawasan berpenduduk.
- Aktiviti seismik dijangka berterusan selama beberapa bulan walaupun menunjukkan tanda-tanda penurunan. Seorang cedera dilaporkan dan darurat diisytiharkan di Daerah Severo-Kurilsky, wilayah Sakhalin.
- Gempa bumi turut mencetuskan tsunami di Lautan Pasifik, menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan oleh Jepun, Amerika Syarikat dan Filipina.
Satu gempa bumi kuat melanda pesisir pantai Kamchatka pada pagi Rabu. Menurut pihak berkuasa, gempa itu berukuran 8.8 magnitud, menjadikannya yang terkuat melanda wilayah itu sejak 1952.
Bencana itu mengakibatkan seorang cedera, menurut Kementerian Kesihatan wilayah. Keadaan berjaga-jaga diisytiharkan di Kamchatka, manakala darurat diisytiharkan di Daerah Severo-Kurilsky di wilayah jiran, Sakhalin.
Gempa bumi itu turut mencetuskan tsunami di Lautan Pasifik, yang menyebabkan pihak berkuasa di Jepun, Amerika Syarikat dan Filipina mengeluarkan amaran tsunami.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami