Orang ramai yang tinggal di pekan Phalaborwa, Afrika Selatan dan kawasan sekitarnya diberi amaran supaya berhati-hati selepas 14 ekor singa terlepas dari Taman Negara Kruger pada Khamis.

Perkara tersebut dilaporkan oleh stesen radio yang berpangkalan di daerah Limpopo dekat timur laut Afrika Selatan, Capricorn FM dan 1NationFM pada Jumaat.

Malah, pentadbir Limpopo juga mengesahkan kejadian itu menerusi muat naik status di Twitter dan memberi amaran kepada orang ramai selepas haiwan buas itu dilihat berkeliaran di sekitar kawasan perlombongan Phalaborwa Foskor.

"Singa terbabit disyaki terlepas dari Taman Negara Kruger. Jabatan Pembangunan Ekonomi, Alam Sekitar dan Pelancongan (LEDET) Limpopo telah mengerahkan ranger untuk memantau secara dekat pergerakan haiwan-haiwan itu sebelum tindakan lanjut diambil," kata LEDET.

Menurutnya, perbincangan akan diadakan di antara pihaknya dan Taman Negara Kruger untuk mencari jalan penyelesaian menangkap singa-singa terbabit dan dibebaskan semula di taman negara tersebut.

Tambahnya, orang ramai serta pekerja di perlombongan Foskor dinasihatkan untuk sentiasa berjaga-jaga setiap masa.