Skip to main content

Dunia

20 hingga 30 pekerja dilaporkan hilang susulan letupan di pusat beli-belah Kumamoto, Jepun

Sumber: REUTERS
Agensi Polis Kebangsaan memaklumkan, beberapa individu yang dipercayai pekerja Aeon Mall Kumamoto tidak dapat dihubungi selepas letupan di kompleks membeli-belah utama berkenaan di Bandar Kashima. - Gambar Reuters
Advertisement

TOKYO: Antara 20 hingga 30 pekerja masih gagal dihubungi berikutan kejadian letupan di Aeon Mall Kumamoto, Wilayah Kumamoto, Jepun pada Selasa, susulan gempa bumi kuat yang melanda wilayah itu, lapor Xinhua yang memetik penyiar awam NHK.

Agensi Polis Kebangsaan memaklumkan, beberapa individu yang dipercayai pekerja Aeon Mall Kumamoto tidak dapat dihubungi selepas letupan di kompleks membeli-belah utama berkenaan di Bandar Kashima, lapor NHK.

Pihak berkuasa mempunyai maklumat yang menunjukkan bahawa antara 20 hingga 30 pekerja masih belum dapat dihubungi, menurut laporan itu.

Polis dan pihak bomba sedang memeriksa sama ada pekerja yang hilang itu terperangkap di dalam bangunan yang rosak serta menjalankan operasi mencari mereka yang berkemungkinan masih terperangkap, katanya.

Sebilangan besar pelanggan telah pun dipindahkan ke kawasan luar susulan letupan yang berlaku pada kira-kira 6 petang waktu tempatan, menurut pihak berkuasa tempatan. 

Bagaimanapun, masih belum dipastikan sama ada terdapat pelanggan yang berada dalam senarai mangsa yang hilang.

Secara berasingan, pihak berkuasa berkata, mereka turut menerima maklumat yang menunjukkan kurang daripada 10 individu lain masih belum dikesan di lokasi lain akibat gempa bumi berukuran 7.1 pada skala Richter yang melanda wilayah di barat daya Jepun itu pada 4.27 petang waktu tempatan.

Sementara itu, syarikat penyiaran TBS melaporkan, beberapa kematian dikhuatiri berlaku susulan letupan di pusat beli-belah berkenaan.

Menurut Polis Wilayah Kumamoto, letupan itu dipercayai mengakibatkan banyak kematian. Pegawai polis berkata pihak berkuasa menjangkakan "jumlah kematian yang tinggi" dan menambah bahawa pengesahan jumlah sebenar mereka yang terkorban akan mengambil masa.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement