INTERNATIONAL
22 maut, 3 cedera dalam kebakaran restoran di China

Pihak pengendali restoran itu sudah ditahan, sementara sebab kebakaran masih dalam siasatan. - AP
BEIJING: Kesibukan suasana makan tengah hari di sebuah restoran di timur laut China pada Selasa dikejutkan dengan insiden kebakaran besar, hingga mengorbankan 22 orang manakala tiga yang lain cedera.
Portal berita South China Morning Post melaporkan, kebakaran itu bermula pada jam 12.25 tengah hari di restoran berkenaan yang terletak di kawasan perumahan Liaoyang, sebuah bandar di daerah Liaoning.
Agensi berita Xinhua pula melaporkan, pengendali restoran itu sudah ditahan, sementara sebab kebakaran masih dalam siasatan.
Lebih daripada 20 kenderaan pemadam kebakaran dan 85 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.Sementara itu, Presiden China, Xi Jinping menyifatkan insiden itu sebagai "pengajaran yang memilukan", dan menggesa pihak berkuasa segera memberikan rawatan kepada yang cedera, mengenal pasti punca kebakaran, dan menahan pihak yang bertanggungjawab.
Xi juga medesak kerajaan tempatan supaya meningkatkan pelan tindak balas kecemasan dan membuat pemeriksaan berkala bagi mengurangkan potensi risiko pada masa hadapan.
"Kita seharusnya dapat menghindar dan mengendali insiden berkaitan keselamatan, sekali gus memastikan keselamatan nyawa manusia serta harta benda," ujar Xi.
Media sosial dibanjiri hantaran gambar dan video yang menunjukkan detik cemas sewaktu kebakaran berlaku, dengan keadaan pinggir jalan yang dipenuhi kenderaan yang diparkir. Asap tebal berkepul keluar dari premis, sementara anggota paramedik memberi bantuan rawatan awal kepada mangsa.
Kejadian kebakaran berkenaan adalah yang terkini dalam siri insiden seumpamanya di seluruh China. Pada awal April lalu, sekurang-kurangnya 20 orang terkorban apabila api marak memusnahkan sebuah rumah penjagaan di daerah Hebei di utara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami