KINSHASA: Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam kebakaran besar yang melanda sebuah dewan majlis perkahwinan, di sini, pada Sabtu.
Datuk Bandar Lingwala, Norbert Mushinga, mengesahkan kejadian itu berlaku ketika majlis resepsi perkahwinan sedang berlangsung di sebuah bangunan dua tingkat di komun berkenaan.
Beliau berkata pemeriksaan awal di lokasi mendapati angka kematian sementara setakat ini ialah 22 orang dan jumlah itu dikhuatiri meningkat.
Menurutnya, mangsa menghadapi kesukaran untuk menuju ke pintu keluar kecemasan berikutan laluan yang sempit selain suasana panik apabila api mula marak.
Pihak berkuasa tempatan telah melancarkan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran, namun kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah elektrik.
Susulan tragedi itu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Jacquemain Shabani, dalam satu kenyataan mengarahkan semua gabenor wilayah menjalankan pemeriksaan keselamatan serta-merta ke atas semua dewan dan lokasi acara awam.
Beliau turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan menutup mana-mana premis awam yang didapati gagal mematuhi piawaian keselamatan kebakaran yang ditetapkan.