Skip to main content

Malaysia

PRM 2.0: JIM Selangor hantar pulang 83,787 warga asing dalam tempoh 17 bulan

Mohmad Khusairi (tengah) bercakap pada sidang media mengenai kejayaan penghantaran pulang 83,787 warga asing menerusi PRM 2.0 bagi tempoh Mei 2025 hingga 30 Sept lepas di Ibu Pejabat JIM Selangor hari ini.  - Gambar Bernama
Mohmad Khusairi (tengah) bercakap pada sidang media mengenai kejayaan penghantaran pulang 83,787 warga asing menerusi PRM 2.0 bagi tempoh Mei 2025 hingga 30 Sept lepas di Ibu Pejabat JIM Selangor hari ini. - Gambar Bernama

Advertisement

Advertisement

SHAH ALAM: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor berjaya menguruskan penghantaran pulang 83,787 warga asing menerusi Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0 bermula Mei 2025 hingga 30 Sept lepas.

Pemangku Pengarah JIM Selangor Mohmad Khusairi Kamarudin berkata pencapaian dalam tempoh 17 bulan itu merekodkan jumlah pendaftaran serta permohonan tertinggi berbanding negeri lain.

"Jumlah itu merangkumi 60,913 lelaki,  20,293 perempuan, diikuti 1,375 kanak-kanak lelaki dan 1,206 kanak-kanak perempuan. Ini membuktikan keberkesanan inisiatif berkenaan dalam menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) secara berfokus.

Advertisement

"Dalam tempoh sama, JIM Selangor turut mengutip lebih RM42.6 juta merangkumi kompaun hampir RM41 juta dan bayaran pas khas lebih RM1.68 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JIM Selangor di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan mana-mana warga asing yang melanggar syarat pas atau tinggal lebih masa di negara ini untuk menggunakan inisiatif PRM di empat cawangan JIM Selangor, iaitu Shah Alam, Pelabuhan Klang, Kelana Jaya dan Kajang.

Advertisement

Mengenai tindakan penguatkuasaan, Mohmad Khusairi berkata pihaknya terus memperketat pemantauan di kawasan hotspot menerusi Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Mega yang dijalankan secara berterusan.

Menerusi operasi terbaharu bermula 10 malam semalam hingga awal pagi tadi, beliau berkata 321 individu telah diperiksa dalam serbuan berfokus di sekitar Shah Alam, Subang Jaya dan Klang.

"Premis yang diserbu sebuah pusat hiburan (KTV), dua kilang memproses barang plastik dan kotak, serta lima blok flat penempatan warga asing hasil kerjasama 130 anggota membabitkan 115 pegawai JIM Selangor, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (7), Jabatan Tenaga Kerja (4) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (4).

"Hasil pemeriksaan lanjut, 242 warga asing berusia antara 25 hingga 50 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas dan tinggal lebih masa," katanya.

Beliau berkata tangkapan merangkumi 180 lelaki dan 62 perempuan membabitkan warganegara Bangladesh (57), India (58), Indonesia (44), Myanmar (52), Vietnam (16), Thailand (4), Nepal (4), Pakistan (2), Laos (2), pelarian Myanmar (2) dan Kemboja (1).

Mohmad Khusairi berkata kesemua tahanan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan susulan, manakala lima Borang 29 (saman kepada saksi) turut dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang disyaki majikan bagi membantu siasatan.

Mengulas mengenai pergerakan warga asing dalam akaun pempengaruh, Mohmad Khusairi berkata pihaknya turut mempunyai pasukan media sosial yang bertanggungjawab memantau maklumat berkenaan dan mengalu-alukan aduan serta maklumat daripada orang awam.

"Kebanyakan lokasi yang pernah diserbu sebelum ini didapati kembali beroperasi dan kita memerlukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement