CHHATTISGARH: Seorang kanak-kanak lelaki pekak dan bisu yang terperangkap dalam perigi sedalam 24 meter selama empat hari, berjaya dikeluarkan dengan selamat.

Rahul Sahu, 10, terjatuh ke dalam perigi itu Jumaat lalu ketika bermain di belakang rumahnya yang terletak di Chhattisgarh, India.

Operasi menyelamat besar-besaran membabitkan lebih 500 anggota, termasuk tentera, polis dan pegawai bantuan bencana dilancarkan, namun usaha itu mengalami kesukaran susulan cuaca buruk dan risiko haiwan berbisa seperti ular dan kala jengking.

Di sebalik pelbagai kekangan, pasukan penyelamat akhirnya berjaya menggali terowong untuk menghampiri dan menyelamatkan kanak-kanak itu pada Selasa malam.

Rahul kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) tetapi dilaporkan dalam keadaan stabil dan dijangka pulih tidak lama lagi, lapor media tempatan.

Ketua Menteri Chhattisgarh, Bhupesh Baghel memberi penghormatan kepada kanak-kanak itu yang disifatkan punya keberanian luar biasa.

"Kita semua berharap dia akan dapat keluar dari hospital secepat mungkin. Tahniah dan terima kasih sekali lagi kepada semua yang terlibat dalam operasi ini," katanya.

Ketua Polis Daerah Janjgir, Vijay Agrawal memberitahu AFP, semasa di dalam perigi, Rahul yang diberi makan pisang 'bertindak balas dengan baik' terhadap anggota penyelamat dan kamera digunakan untuk memantau keadaan dan pergerakannya.

"Cabaran terbesar kami ialah kerana dia tidak boleh bercakap dan tidak boleh mendengar," tambahnya.

Satu paip oksigen menyalurkan udara menjadi antara usaha kritikal pasukan penyelamat walaupun mengalami kesukaran untuk memastikan ia sampai kepada kanak-kanak itu disebabkan faktor batuan keras, menurutnya.

Perigi yang tidak bertutup adalah perkara biasa di perkampungan di India namun ia sering menjadi faktor insiden maut yang melibatkan kanak-kanak.