DUNIA
4 maut nahas pesawat di Lapangan Terbang Southend, London - Media

Tangkap layar daripada sebuah video menunjukkan kepulan asap hitam, seperti yang dilihat dari dalam sebuah bangunan di Lapangan Terbang Southend, Britain, pada Ahad, 13 Julai 2025. — @agussromagnoli menerusi X/Reuters
LONDON: Empat terbunuh apabila sebuah pesawat ringan terhempas di Lapangan Terbang Southend, London pada Ahad, lapor Xinhua yang memetik media tempatan pada Isnin.
Kedua-dua BBC dan agensi berita PA melaporkan, empat orang maut, namun polis masih belum mengesahkan jumlah kematian secara rasmi.
Pesawat sepanjang 12 meter itu, yang dilaporkan sebagai Beech B200 Super King Air, dikendalikan oleh firma Belanda, Zeusch Aviation.
Pesawat sepatutnya berlepas ke Lapangan Terbang Lelystad di Belanda.Zeusch Aviation mengesahkan yang penerbangan SUZ1 "terlibat dalam satu kemalangan" di lapangan terbang London dan menyatakan simpati kepada "semua yang terjejas."
Rakaman video menunjukkan satu letupan besar selepas pesawat terhempas.
Gambar yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan api marak dan asap hitam tebal di lokasi kejadian yang berlaku pada petang Ahad.
Polis Essex berkata, pihaknya bertindak balas terhadap "laporan perlanggaran melibatkan sebuah pesawat sepanjang 12 meter" kira-kira 4 petang waktu tempatan (1500 GMT).
Lapangan Terbang Southend memaklumkan, lapangan terbang akan "ditutup sehingga diberitahu kelak" susulan "insiden serius" itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami