Skip to main content

Dunia

4 maut, ratusan ribu isi rumah terputus bekalan elektrik akibat Hurikan Isaias di AS

Pemandangan dari dron menunjukkan sebuah bangunan pangsapuri yang rosak akibat Taufan Isaias di Milton, Florida, AS, 11 Okt 2026. REUTERS
Pemandangan dari dron menunjukkan sebuah bangunan pangsapuri yang rosak akibat Taufan Isaias di Milton, Florida, AS, 11 Okt 2026. REUTERS

Advertisement

WASHINGTON: Empat orang maut di Amerika Syarikat (AS) akibat Hurikan Isaias, menurut pengesahan pihak berkuasa pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut angka rasmi dari Florida dan Alabama, ratusan ribu penduduk terputus bekalan elektrik. Di Florida sahaja, seramai 430,000 isi rumah terjejas, kata Gabenor Ron DeSantis.

Menurut DeSantis, seorang mangsa maut di Florida apabila sebatang pokok menghempap bumbung rumahnya. Seorang lagi mangsa ditemukan meninggal dunia di sebuah garaj yang menempatkan penjana elektrik yang sedang beroperasi. DeSantis tidak memberikan butiran lanjut mengenai punca kematian mangsa itu.

Agensi Pengurusan Kecemasan Alabama melaporkan sebanyak 200,000 gangguan bekalan elektrik. Dua orang turut dilaporkan maut di negeri itu.

Isaias melanda Florida pada Jumaat dengan kelajuan angin sehingga 165 kilometer sejam. Beberapa negeri mengisytiharkan darurat sebagai langkah berjaga-jaga.

Ribut itu pada awalnya dikategorikan sebagai hurikan sebelum kekuatannya berkurangan pada malam berikutnya. Bagaimanapun, menurut perkhidmatan cuaca, ancaman terhadap nyawa masih wujud, termasuk akibat banjir.

Ribut itu kini bergerak ke arah timur laut. Menurut Pusat Hurikan Kebangsaan, kawasan pergunungan Appalachian tengah dan pesisir Atlantik tengah AS, termasuk Washington DC, Philadelphia, Baltimore dan New York, perlu bersiap sedia menghadapi hujan lebat serta banjir kilat.

Di kawasan lebih selatan, angin kencang masih berisiko menyebabkan pokok tumbang dan gangguan bekalan elektrik, manakala puting beliung juga berkemungkinan berlaku di beberapa kawasan.

Sementara itu, penduduk Mexico bersiap sedia menghadapi ketibaan Hurikan Simon.

Hurikan yang kini dikategorikan sebagai ribut Kategori 4 (sangat kuat) itu dijangka mengekalkan kekuatannya dan terus bergerak ke arah pesisir Pasifik barat-tengah Mexico, menurut Perkhidmatan Meteorologi Mexico dan Kementerian Tentera Laut Mexico.

Perkhidmatan Meteorologi meramalkan bahawa menjelang malam Ahad, hurikan itu akan berada dalam lingkungan 30 kilometer (km) dari pesisir barat Mexico.

Hujan lebat, kelajuan angin 240km sejam di sekitar pusat taufan serta ombak setinggi enam hingga lapan meter dijangka berlaku. Menurut kementerian itu, kawasan tanah rendah berisiko mengalami kenaikan paras air, banjir dan tanah runtuh.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement