NEW MEXICO: Pihak berkuasa Mexico baru-baru ini menemui sekurang-kurangnya 47 mayat dipercayai mangsa pembunuhan beramai-ramai yang disumbat dalam guni dan ditanam di bawah lantai sebuah kelab malam di Lembah Toluca.

Penemuan mengerikan di Tenango del Valle itu dipercayai ada kaitan dengan kumpulan kartel paling ganas dan kejam, Jalisco New Generation Cartel atau CJNG.

Jenayah itu terbongkar susulan penahanan sembilan individu dipercayai anggota CJNG.

Antara yang ditahan ialah ketua kartel, Jaime Luis 'El Pozolero' yang dituduh menculik seorang wanita di Tenancingo tahun lalu.

Kesemua suspek kemudian membawa anggota polis ke sebuah gudang perindustrian yang ditukar menjadi kelab malam di kawasan kejiranan La Joya, kira-kira sejam dari Mexico City.

Polis terpaksa menggunakan jentera berat bagi memecahkan lantai simen di mana kesemua mayat tersebut ditanam.

Pakaian lelaki dan wanita turut ditemui di tapak berkenaan.

"Jumlah sebenar mangsa dan identiti mangsa masih belum diketahui.

"Tetapi 47 mayat telah dibawa keluar untuk pemeriksaan forensik," menurut Setiausaha Pertahanan, Luis Cersencio Sandoval.

CJNG kumpulan kartel paling berpengaruh di Mexico dan salah sebuah kartel terbesar dan paling kejam di dunia dengan cawangannya turut berada di seluruh Amerika Tengah dan Utara.

Menurut laporan Daily News yang berpangkalan di New Mexico, dua bekas rekrut remaja berusia 16 dan 17 tahun memberitahu pendakwa raya bahawa mereka telah dipaksa memakan daging mangsa penyeksaan kumpulan tersebut. -Sinar Harian/Agensi