Penularan wabak novel koronavirus (2019-nCoV) ketika ini menjangkiti lebih 35,000 mangsa di seluruh dunia menyaksikan warganegara China mencatatkan kes jangkitan tertinggi.

Bagi rakyat Malaysia, banyak cerita dan perbualan dibincangkan di semua platform (tak kira secara dalam talian mahupun di kedai kopi) berhubung wabak yang dilaporkan bermula di Wuhan, China ini.

Biarpun banyak 'penyakit baharu' yang timbul susulan wabak koronavirus, kita mungkin perlukan pencerahan tentang bagaimana jangkitan penyakit ini membawa pengajaran penting untuk hidup bermasyarakat sebaik sahaja kita memasuki dekad ketiga alaf baharu ini.

Seperti kata pujangga sebelum ini; "setiap bencana yang berlaku ada pengajaran yang cuba diberitahu Tuhan kepada umat manusia".

Berikut ialah beberapa pengajaran penting susulan penularan wabak berbahaya ini:

1. Mengakui bahawa ada masalah timbul!

Biarpun kerajaan China mengakui telah berjaya mengesan wabak ini lebih awal berbanding Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), tetapi mereka masih mengambil masa terlalu panjang sehinggakan mereka yang dijangkiti wabak koronavirus mampu menyebarkan patogen ini ke kawasan yang lebih luas.

Setakat artikel ini ditulis, lebih 700 telah maut di China membabitkan 350 kes jangkitan di luar China di 29 buah negara termasuk Malaysia.

Ketika virus ini mula menular ke negara luar, kebanyakan negara mengecam tindakan China kerana tidak berkongsi maklumat sehinggalah mereka terpaksa mengakuinya bagi membolehkan orang ramai bertenang.

Begitu juga di Malaysia, situasinya sedikit tegang pada awal berita penularan wabak ini, mujur ada usaha yang digerakkan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama warga media bagi mengelak keadaan menjadi lebih kelam kabut akibat kerisauan yang dikongsikan di media sosial.

Wabak Koronavirus telah membunuh lebih 700 mangsa setakat ini

2. Perkongsian maklumat genetik.

Sebaik sahaja berita mengenai penularan wabak koronavirus, kerajaan China secara serta-merta terus berkongsikan maklumat urutan genetik virus ini yang dikumpulkan daripada pesakit.

Perkongsian ini amat penting bagi membolehkan usaha mencari penawar dapat dibuat dengan lebih cepat dengan memanfaatkan teknologi perubatan yang ada di seluruh dunia.


3. Pengisytiharan status kecemasan kesihatan global.

Dalam hal ini, kerajaan China wajar untuk dipersalahkan sepenuhnya begitu juga dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Seharusnya pihak WHO mengambil tindakan drastik untuk meletakkan status ini lebih awal. Malangnya pengumuman mengenai status kecemasan kesihatan global ini sedikit lewat biarpun penularannya agak cepat jika dibandingkan dengan wabak SARS sebelum ini.

Akan tetapi, kajian tetap diteruskan kerana setiap virus mampu bermutasi dalam pelbagai cara.


4. Menghapuskan sumber penularan wabak.

Setiap virus yang menjangkiti mana-mana makhluk pasti ada sumbernya, dan tindakan pantas kerajaan China untuk menutup pasar di Wuhan sedikit sebanyak telah menyumbang kepada usaha menghentikan penularan wabak ini.

Sama juga seperti SARS ataupun selesema burung sebelum ini, virus yang sebelum ini hanya menjangkiti haiwan kini menjangkiti manusia.

BACA: Tenggiling sumber sebar koronavirus?

5. Menamakan 'iblis' ini

Ada pihak menganggap wabak ini sejenis 'iblis' yang menyusahkan kehidupan manusia.

'Koronavirus' merupakan famili untuk virus yang ada termasuklah SARS dan juga selesema biasa.

Menamakan atau meletakkan label pada strain ini akan memberikan fokus yang lebih tajam kepada perhatian orang ramai terutamanya doktor perubatan sehinggalah peringkat tertinggi kerajaan.

Selepas lebih 15 hari wabak ini menjadi perbualan ramai, menurut laporan CGTN pada Sabtu, Suruhanjaya Kesihatan Nasional China telah membuat keputusan untuk melabelkan wabak ini sebagai 'Novel Koronavirus Pneumonia' (NCP).

Biarpun lima pengajaran ini amat penting untuk memantapkan lagi kualiti kehidupan kita sebagai manusia dan memainkan peranan sebaiknya untuk kepentingan global, setinggi penghargaan turut dirakamkan kepada semua warga perubatan di semua peringkat.

Bagi rakyat Malaysia, kerja keras yang ditunjukkan oleh pasukan perubatan di semua peringkat amat meyakinkan dan sentiasa berusaha memberikan maklumat terkini pada masa nyata kepada rakyat Malaysia.

Tambahan pula, usaha memerangi berita palsu yang disebar pihak yang juga risau turut berjaya dilumpuhkan secara perlahan-lahan.

Syabas buat rakyat Malaysia! Mana yang baik, kita teruskan yang kurang baik kita perbaiki.