Skip to main content

Dunia

Pelabuhan New Orleans saman syarikat kapal kargo lebih AS$1 juta susulan pelanggaran di Sungai Mississippi

Pihak pelabuhan mendakwa perlanggaran itu berpunca daripada kecuaian pengendali kapal serta kegagalan mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan kemalangan. - Foto fail/REUTERS
Pihak pelabuhan mendakwa perlanggaran itu berpunca daripada kecuaian pengendali kapal serta kegagalan mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan kemalangan. - Foto fail/REUTERS

Ringkasan AI

  • Pelabuhan New Orleans memfailkan saman lebih AS$1 juta terhadap pemilik dan pengendali kapal kargo M/V Atlantic Asphalt selepas perlanggaran di Sungai Mississippi.
  • Insiden menyebabkan kapal persiaran American Heritage senget dan sebahagiannya tenggelam, dengan 32 penumpang cedera ringan namun tiada kematian dilaporkan.
  • Punca kejadian masih disiasat, namun pelabuhan mendakwa kecuaian pengendali kapal dan memohon mahkamah merampas serta menjual kapal terbabit.
Advertisement

NEW ORLEANS: Pelabuhan New Orleans memfailkan saman bernilai lebih AS$1 juta (RM4.09 juta) terhadap pemilik dan pengendali sebuah kapal kargo yang bertembung dengan kapal persiaran di Sungai Mississippi, menyebabkan kerosakan besar serta operasi menyelamat membabitkan lebih 100 penumpang.

Menurut laporan BBC, pihak pelabuhan mendakwa kapal M/V Atlantic Asphalt bertanggungjawab terhadap insiden yang berlaku pada Jumaat lalu dan kini menuntut pampasan bagi menampung kos pembersihan, pemeriksaan, pembaikan serta perbelanjaan lain yang timbul akibat kejadian itu.

Perlanggaran itu mengakibatkan kapal persiaran American Heritage senget dan sebahagiannya tenggelam ketika sedang berlabuh. Seramai 32 penumpang dilaporkan cedera ringan dan menerima rawatan di hospital, namun tiada kematian atau mangsa yang hilang.

Advertisement

Punca kejadian masih dalam siasatan, namun Pengawal Pantai Amerika Syarikat memaklumkan kemungkinan berlaku kegagalan sistem stereng pada kapal kargo berkenaan.

Saman yang difailkan di mahkamah persekutuan Louisiana turut menamakan pemilik kapal, Nave Shipping SA, dan syarikat pengurusannya, Thome Ship Management Pte Ltd.

Advertisement

Pihak pelabuhan mendakwa perlanggaran itu berpunca daripada kecuaian pengendali kapal serta kegagalan mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan kemalangan.

Selain menuntut ganti rugi, pelabuhan turut memohon mahkamah merampas dan menjual kapal terbabit bagi menjelaskan kerugian yang dialami.

Sementara itu, Thome Ship Management memaklumkan semua kru berada dalam keadaan selamat dan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement