Sekurang-kurangnya 56 orang maut apabila sebuah bas bertembung dengan sebuah lori barang di selatan Pakistan, berhampiran Bandaraya Khairpur, 450 kilometer di utara Karachi.

Pakistan mempunyai rekod kemalangan mengerikan akibat dari keadaan jalan raya yang teruk, kenderaan yang tidak diselenggara serta pemanduan merbahaya.

Paparan televisyen menunjukkan dalam kejadian pada Selasa itu, bas terbabit telah terbalik dengan bumbungnya tercabut dan tempat duduknya berselerakan di jalan raya.

Pegawai kanan polis Nasir Aftab memberitahu AFP bahawa 56 penumpang terbunuh manakala 18 lagi cedera. Antara yang terbunuh ialah 17 wanita dan 18 kanak-kanak.

Doktor di Hospital Awam Khaipur berkata, tiga mangsa yang cedera kini dalam keadaan kritikal.

"Kemalangan itu begitu teruk sehingga kesemua daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian dan hanya seorang kanak-kanak meninggal dunia di hospital semasa rawatan," Dr Jaffer Soomro dari Hospital Awam Khairpur.

"Saya tidak pernah melihat kemalangan jalan raya yang begitu dahsyat."

Bas terbabit dikatakan sedang membawa penumpang dari sebuah keluarga berbangsa Pashtun dari barat laut Lembah Swat ke Karachi.

"Kami telah memanggil penterjemah Pashtun untuk berkomunikasi dengan mereka yang masih hidup terutamanya kanak-kanak yang berada di dalam keadaan yang amat menyedihkan," kata Soomro.