PUTRAJAYA: Jemaah Menteri mendoakan kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini berada dalam pemantauan doktor di Institut Jantung Negara (IJN).
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh Jemaah Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada Dr Mahathir dan keluarga susulan pemergian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Isnin lalu.
"Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri serta pihak kerajaan merakamkan ucapan takziah buat Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
"Allahyarhamah merupakan seorang tokoh wanita dan negarawan yang amat dihormati. Perdana Menteri juga memaklumkan dalam perbualan telefon antara beliau dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan turut menyampaikan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Jemaah Menteri turut mendoakan kesihatan Yang Berbahagia Tun Dr Mahathir yang kini berada dalam pemantauan doktor di Institut Jantung Negara," katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini, pada Rabu.
Allahyarham Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Isnin lalu, pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.
Beliau adalah antara wanita Melayu terawal yang bergelar doktor perubatan sebelum mencurahkan khidmat dalam bidang kesihatan awam negara.