TEXAS: Polis mengesahkan sembilan maut akibat ditembak oleh seorang lelaki bersenjata di sebuah pusat beli-belah di utara Dallas, Texas, Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu.

Lelaki bersenjata itu yang dipercayai bertindak bersendirian turut maut selepas ditembak oleh polis ketika melepaskan tembakan di luar pusat beli-belah Allen Premium Outlets.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah, Brian Harvey pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Bomba Allen, Jon Boyd memberitahu bahawa pihaknya membawa sekurang-kurangnya sembilan mangsa dengan kesan tembakan ke sebuah hospital tempatan.

Beliau pada masa sama tidak menafikan kemungkinan lebih ramai yang cedera dalam insiden itu.

Gabenor Texas, Greg Abbott menyifatkan kejadian tembakan itu sebagai tragedi yang amat pilu selain sedia menawarkan bantuan yang mungkin diperlukan oleh pihak berkuasa tempatan.

Tembakan rambang di tempat awam telah menjadi perkara biasa di AS, dengan sekurang-kurangnya 198 kes setakat tahun 2023.